Didakwa sudah berkahwin dengan DJ Kidd, Emma Maembong akhirnya buka mulut

Oleh MAISARAH AISYA

Tular sebelum ini video dan gambar mesra antara pelakon Emma Maembong dan seorang lelaki dikenali sebagai DJ Kidd.

Lebih mengeruhkan keadaan DJ Kidd menyatakan bahawa dia akan menjadi suami terbaik buat Emma namun perkara itu disangkal adik Emma, Chacha Maembong.

Kini tuan badan sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status dirinya, menurut Emma, dia nafi sudah berkahwin dan hanya berkawan sahaja dengan DJ Kidd lapor Kosmo! Online.

“Betul kami berkawan tetapi saya belum berkahwin seperti yang diperkatakan ramai.

“Sejak berita itu tersebar, ramai yang bertanya kepada saya, termasuklah kawan-kawan, masing-masing tanya, betul ke saya dah kahwin? Sampai hati tak jemput mereka.

“Mulanya, saya tidak mahu memberikan respons terhadap gosip ini kerana saya ingat perkara ini akan berlalu.

“Tetapi bila ramai yang bertanyakan sendiri kepada saya dan menyangka saya sudah berkahwin, saya rasa sudah tiba masanya tampil membuat penjelasan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Masih merahsiakan punca penceraian dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar, Emma menegaskan bahawa DJ Kidd bukan puncanya.

“Tiada siapa yang menjadi punca penceraian saya dengan bekas suami. Tak perlu tahu apa puncanya. Saya sudah tutup buku lama. Buat apa saya nak buka balik.

“Saya selalu cakap salahkan diri saya sendiri. Saya yang tak pandai jaga diri. Apa- apa komen negatif atau jahat, biarlah saya yang kena.

“Jangan salahkan orang sekeliling saya. Sebab mereka tidak bersalah,” jelasnya.

Baca juga: Suami Nora Ariffin ada bukti didesak untuk bercerai, dakwa difitnah isteri pertama