Harga telur mahal sangat, ladang di Amerika Syarikat tawar sewa ayam telur kepada penduduk

Oleh MALAYSIADATELINE

Harga telur di pasaran dunia lebih mahal malah di Amerika Syarikat (AS) sahaja harga dijangka meningkat lebih 40 peratus.

Punca telur dikatakan mahal adalah disebabkan penularan selesema burung H5N1 yang semakin meningkat di AS.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini menjanjikan kos telur akan berkurangan selepas melihat harga naik lebih 65 peratus tahun sebelumnya.

Namun menurut Jabatan Pertanian AS, harga telur ayam dijangka meningkat 41 peratus tahun ini.

Lebih mengejutkan harga borong telur ayam saiz besar dilaporkan akan mencecah AS$8 (RM36) untuk 12 biji telur.

Jelasnya, harga tersebut naik disebabkan beberapa faktor, antaranya permintaan tinggi, inflasi dan virus H5N1 yang telah jejaskan berjuta ternakan ayam telur.

Disebabkan itu orang ramai mula menawarkan khidmat sewa ayam telur.

Ladang ternakan Rent The Chicken di bandar Goffstown, negeri New Hampshire menawarkan pelanggan menyewa dua ekor ayam telur selama enam bulan dengan bayaran serendah AS$600 (RM2,656).

Menurut BBC, pentadbiran Trump merancang untuk mengimport telur dari Turki dan Korea Selatan dan sedang berbincang dengan negara-negara lain.

Menurut pegawai, ini adalah dengan harapan dapat mengurangkan harga yang tinggi bagi pengguna Amerika.

“Kita bercakap tentang ratusan juta telur untuk jangka pendek,” kata Setiausaha Pertanian Brooke Rollins.

Baca juga: Peniaga petai tular dapat ganti rugi, lesen sementara untuk meniaga secara sah