Seorang wanita bergelar isteri berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi jumlah wang yang telah dibelanjakannya untuk membeli baju raya sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Thread, wanita itu sepertinya meluahkan rasa bangga berikutan berjaya membeli baju raya untuk suami dalam harga yang jauh lebih murah iaitu RM60.
Wanita itu bagaimanapun sanggup mengeluarkan wang lebih daripada RM400 hanya untuk membeli persalinan buat dirinya sendiri dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu tindakan yang bijak.
“Beli baju raya buat diri sendiri berharga lebih dari RM400. Selepas itu, cari baju raya suami pula dengan harga RM60 sahaja kome (kamu semua). Rasanya kalau ada yang lagi murah, mesti akan belikan yang lebih murah.
“Nak jadi isteri, kenalah bijak,” tulis wanita itu dalam satu perkongsian dimuat naik di platform TikTok yang berjaya mengundang perbincangan hangat termasuklah dalam golongan isteri.
Rupa-rupanya, tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati sebahagian besar pengguna tidak bersetuju dengan tindakan wanita berkenaan yang disifatkan berat sebelah dalam berbelanja.
Rata-rata pengguna berkongsi pendapat serupa bahawa sikap isteri terbabit agak mementingkan diri sendiri selain mengambil kesempatan ke atas suami yang memberikan amanah kepadanya untuk menguruskan kewangan.

“Maaf, tak bijak ya. Jangan cipta stigma yang salah kepada isteri yang mengambil kesempatan ke atas duit suami macam ini. Cuba terbalikkan situasi. Adakah awak rasa gembira dapat baju raya RM60 tetapi suami berbelanja RM450 untuk pakaiannya sendiri,” soal seorang pengguna.
“Alhamdulillah, kalau suami awak tiada masalah. Tetapi tak perlulah buat konon kenyataan ini nampak bijak. Saya rasa tak bijak. Rasa macam ada jurang yang sangat tidak adil. Lelaki memang kebanyakkannya jenis tak kisah,” kongsi pengguna lain.
Selepas menjadi sasaran kecaman orang ramai, wanita itu kemudian mempertahankan dirinya dengan mendakwa baju raya berharga sedemikian adalah permintaan dari suaminya sendiri yang lebih mementingkan kualiti.
Dalam perkongsian sama, wanita itu turut memaklumkan bahawa suaminya malah memuji pilihannya membeli baju raya yang berkualiti dengan harga terjangkau tanpa mengulas sama ada lelaki terbabit tahu mengenai kos pakaian isterinya.
Baca juga: Harga telur mahal sangat, ladang di Amerika Syarikat tawar sewa ayam telur kepada penduduk