Siapa sangka, terdapat anak muda yang tidak mempunyai sumber pendapatan jelas namun mampu hidup dengan mewah malah memiliki kenderaan berjenama keluaran luar negara seperti Mustang dan BMW.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, anak muda ini bukanlah datang dari golongan usahawan mahupun pempengaruh sebaliknya disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Razarudin menjelaskan bahawa fenomena seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu namun sudah terbukti menerusi beberapa kejayaan operasi dijalankan pihaknya sebelum ini, lapor Berita Harian.
Menurutnya, Kelantan dikenal pasti sebagai antara laluan utama sindiket penyeludupan membabitkan dadah jenis syabu, heroin dan pil kuda yang dibawa masuk dari Thailand sebelum diedarkan ke seluruh negara.
Siasatan polis juga mendapati sindiket turut menyeludup pelbagai barangan larangan selain dadah iaitu senjata api serta pelbagai barang kontraban termasuklah haiwan ternakan seperti lembu.
“Hasil siasatan mendapati ada dalam kalangan mereka terbabit aktiviti penyeludupan dadah, senjata api dan barang kontraban melalui sempadan Kelantan-Thailand.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Cawangan Khas (SB) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) kini memperketatkan kawalan sempadan serta menjalankan risikan berterusan bagi membanteras sindiket yang mempergunakan anak muda untuk aktiviti haram.
“Kita tidak mahu Kelantan terus menjadi transit utama bagi sindiket dadah dan senjata api. Pihak berkuasa akan terus memantau serta mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang aktiviti jenayah itu,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Dalam pada itu, pihak polis turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu terlibat untuk menangani jenayah ini termasuklah mereka yang berselindung di sebalik perniagaan sah.
Hal ini berikutan pihak polis percaya masih ada rangkaian aktif yang terus beroperasi secara senyap dan mengambil kesempatan atas kelemahan di sempadan walau sudah ada beberapa tangkapan besar telah dilakukan sebelum ini.
Baca juga: Kerja pembantu rumah je tapi mampu menabung RM26,000 dalam tempoh dua tahun