Usahawan dan pempengaruh, Kim Seri yang didakwa terlibat dengan isu penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan kini sedang sibuk mengenali hati budi seorang jejaka yang berasal daripada negara tersebut.
Pemilik nama sebenar Seri Azlina itu juga sangat terbuka berkongsi gambar dan rakaman memaparkan detik-detik indah ketika meluangkan masa bersama teman lelakinya menerusi beberapa hantaran di platform media sosial.
Tindakan wanita berusia 40 tahun itu telah menimbulkan perasaan kurang senang terutamanya daripada mangsa-mangsa penipuan pakej perlancongan dengan jumlah kerugian mencecah hampir RM500,000.
Rata-rata pengguna berpendapat bahawa pempengaruh itu terlalu tenang dalam menjalani kehidupannya di Korea Selatan selain tidak kelihatan serius untuk melangsaikan hutang mencecah setengah juta kepada mangsanya.
Malah satu rakaman yang tersebar memaparkan Kim Seri ketika menyanyi dengan riak wajah bahagia seolah-olah menggambarkan dirinya sedang asyik dilamun cinta turut mengundang perbincangan hangat di media sosial.
Rata-rata pengguna meluahkan rasa geram dan berkongsi pendapat bahawa Kim Seri seperti tiada rasa bersalah terhadap pihak yang masih menanti bayaran hutang daripadanya.
Isu ini juga menarik perhatian Kim Seri sehinggakan tuan badan akhirnya bersuara untuk memberikan penjelasan mengenai hubungannya dengan jejaka Korea berkenaan dan masalah hutang yang kini cuba diselesaikannya.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story, Kim Seri mengakui bahawa cinta itu boleh memberikan semangat kepada seseorang dalam memperbaiki kehidupan ke arah lebih baik.
Teman lelakinya juga turut menghulurkan bantuan untuk menyelesaikan masalah hutang namun Kim Seri tidak memaklumkan dengan lebih terperinci sama ada pertolongan itu dalam bentuk kewangan atau sebaliknya.
“Tak tahu pula kalau bercinta, kena duduk rumah 24 jam. Tak perlu bekerja dan fikir nak bercinta sahaja. Ramailah orang bercinta ini lebih bersemangat untuk memperbaiki kehidupan.
“Kami memang memberikan sokongan antara satu sama lain. Saya ada banyak hutang dan kami berdua usahakan untuk selesaikan masalah ini bersama. Hubungan yang sihat tidak akan terputus apabila timbul masalah.
“Tetapi sama-sama memperbaiki masalah dan juga tidak menimbulkan lebih banyak tekanan. Saya berharap awak menemukan seseorang yang boleh mengubah perspektif anda dalam kehidupan dan cinta,” katanya.
Difahamkan, hantaran tersebut dimuat naik oleh Kim Seri untuk menjawab soalan yang dibangkitkan salah seorang netizen menerusi pesanan secara terus (DM) mengenai hubungan percintaannya di tengah masalah hutang.

Terdahulu, Kim Seri menerusi satu kenyataan di Instagram Story pada 17 Disember tahun lalu membuat permohonan maaf kepada pelanggan yang terkesan dengan isu pekej pelancongan tertunda di bawah syarikat miliknya.
Usahawan itu juga memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan wang kerugian kepada pelanggan sebelum atau pada 1 Februari lalu, namun ada mangsa mendakwa belum menerima bayaran balik seperti yang dijanjikan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mengesahkan pihaknya telah menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan yang dilakukan oleh seorang pempengaruh.