Wanita dihempap basikal dibuang dari tingkat 12 PPR, terima 5 jahitan di kepala

Oleh MALAYSIADATELINE

Gara-gara dihempap basikal yang dibuang dari tingkat 12 bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR), seorang wanita mengalami kecederaan sehingga perlu menerima lima jahitan di kepala.

Difahamkan, insiden berlaku ketika mangsa iaitu Azuraini Yazid sedang berada dalam perjalanan untuk membuang sampah kira-kira pada pukul 4 petang, semalam di PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu itu.

Suami mangsa dikenali sebagai Jusri Ibrahim, 48, berkata bahawa isteri tiba-tiba sahaja terjatuh dan tidak sedarkan diri selain kepalanya juga berada dalam keadaan berdarah selepas dihempap basikal yang dibuang itu.

Isterinya yang bertugas sebagai pembantu TABIKA Kemas di Pasir Panjang itu kemudian diberi rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dalam keadaan tidak sedarkan diri, lapor Berita Harian.

Jusri yang bekerja sebagai pemandu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu mengakui sudah berjumpa dengan pihak pemilik namun mendakwa basikal anaknya berada di luar rumah dan dibuang oleh individu lain.

“Isteri dikejarkan ke unit kecemasan HSNZ menerima lima jahitan di kepala dan keadaannya kini stabil,” kata Jusri yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu memetik laporan Berita Harian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan sudah merakamkan percakapan seorang penghuni kediaman yang mengaku basikal tersebut adalah miliknya.

Individu terbabit bagaimanapun mendakwa namun tidak terlibat di dalam kejadian pembuangan basikal daripada tingkat 12 kediaman berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap penghuni lain.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah awal pagi ini,” jelasnya untuk mengulas mengenai siasatan berhubung kejadian tersebut.

Baca juga: Lelaki longgok wang kertas RM500k, tawar khidmat tukar duit raya baru