Lakonan aktor, Fattah Amin dalam drama bersiri Keluarga Itu cukup memberi kesan kepada penonton sehinggakan ada yang mendakwa watak tersebut diinspirasi daripada kisah pelakon terbabit.
Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan oleh penulis skrip drama itu iaitu Erma Fatima yang memaklumkan bahawa watak Ansara lakonan Fattah Amin tidak memiliki kaitan dengan realiti sebenar kehidupannya.
Sebaliknya pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali itu menegaskan bahawa skrip drama berkenaan sudah siap ditulis sebelum terjadinya kemelut rumah tangga antara Fattah dengan bekas isterinya iaitu Nur Fazura.
Menurut Erma, Fattah bagaimanapun berjaya mendalami watak yang diberikan dengan cukup cemerlang sehingga penjiwaan lakonan aktor sensasi terbabit sampai ke hati penonton, lapor Oh Bulan.
“Saya tulis skrip cerita itu sebelum dia dan Fazura cerai, netizen jangan main tuduh-tuduh. Saya tawarkan watak tersebut kepada Fattah sebelum dia bercerai. Jelas di sini, tiada kena mengena dengan kehidupan sebenar dia.
“Tiada kena mengena dengan kisah hidup Fattah. Mungkin dia dapat menjiwai watak tersebut disebabkan ketika itu sedang tertonggeng-tonggeng (rumah tangga dilandai badai) agaknya,” katanya memetik laporan Oh Bulan.
Terdahulu, Fattah ketika ditanya pihak media mengenai isu tersebut tidak menafikan bahawa skrip yang ditulis oleh Erma didapati memiliki sedikit persamaan dengan kehidupan peribadinya selepas membacanya.
Walau bagaimanapun, Fattah ataupun nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin mengakui hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelakon dan mengikut tuntutan daripada pengarah dan penulis skrip.
Pelakon yang berusia 34 tahun itu juga tidak memberikan penjelasan secara terperinci mengenai dari segi manakah watak Ansara lakonannya memiliki persamaaan dengan kehidupan peribadinya.
Sekadar info, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon terkenal iaitu Nur Fazura Sharifuddin pada 27 November 2017 sebelum sah bercerai talak satu, Oktober tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun bersama, bekas pasangan suami isteri terbabit dikurniakan dengan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.
Baca juga: Terkejut dituduh hutang ‘ah long’, Faye Kusairi perjelas isu kereta rosak, cermin pecah