Hari ini penulis baru tahu bahawa seniman lagenda negara, P Ramlee pernah mencipta sebuah lagu raya ketika beliau dan pasukannya sedang melakukan mogok.
Lagu raya itu ditulis dalam masa 10 minit sahaja ketika majlis kutipan dana untuk membantu para pekerja yang sedang mogok pada hari raya.
Kami kongsikan artikel penuh yang dimuat naik oleh portal sos cili.
Mogok kerana isu kenaikan gaji di Malay Film Productions (MFP)
Pada tahun 1950 Persatuan Artis Filem Malaya (PERSAMA) hasil cetusan idea dan sokongan para wartawan iaitu Abdullah Hussain, Usman Awang, Hassan Hashim.
Presiden PERSAMA ialah P.Ramlee manakala setiausahanya ialah Salleh Ghani dan Jamil Sulong pula sebagai bendahari. PERSAMA ni terdiri dari barisan pelakon, pekerja-pekerja belakang takbir filem Malay Film Productions (MFP) (milik Shaw Brothers).
Selama beberapa tahun mereka bekerja, satu isu telah timbul di mana pekerja-pekerja di MFP menerima gaji yang sama walaupun telah 5 hingga 7 tahun bekerja. Ia telah menimbulkan kemarahan antara mereka.
P. Ramlee telah melancarkan mogok dan turut diusahakan oleh setiausahanya, Salleh Ghani pada 16 Mac 1957 di hadapan Studio Jalan Ampas bagi menuntut gaji. Dikatakan lebih dari 120 orang yang menyertai mogok ini.
Semasa mogok berlangsung, sekumpulan jawatankuasa PERSAMA telah bertandang ke Kuala Lumpur untuk mendapat sokongan Tunku Abdul Rahman. Hasil kunjungan itu, Datuk Senu Abdul Rahman (Menteri Penerangan dan Penyiaran) telah dihantar ke Singapura bagi menyelesaikan isu gaji ni. Di sini, kita boleh lihat peranan pemimpin yang dimainkan oleh presiden demi menjaga kebajikan rakan artis dan kepentingan industri perfileman tanah air.
Akhirnya, mogok ini telah menyebabkan gaji pelakon dinaikkan. Akan tetapi, ia tak berhenti di sini sahaja!
Lagu raya ditulis dalam masa 10 minit semasa majlis kutip dana
Pada 7 April 1957, PERSAMA mengadakan lagi satu mogok, masih memperjuangkan perkara yang sama, iaitu menuntut kenaikan gaji, tapi mogok kali ni tak ekstrem sangat.
Mogok ini juga berlarutan sehingga Hari Raya Aidilfitri yang masa itu jatuh pada 1 Mei 1957.
Bagi mengumpul dana dan membantu para pekerja yang sedang mogok, mereka menganjurkan konsert “Malam Suka Duka“.
P. Ramlee dan Jamil Sulong (pengarah filem dan penulis lagu) masa konsert ni berlangsung telah menggubah sebuah lagu raya baru bertajuk “Selamat Hari Raya” untuk dinyanyikan semasa konsert amal tersebut.
Menurut penulis liriknya, Jamil Sulong:
“Lagu ‘Selamat Hari Raya’ ditulis khas untuk Persatuan Artis Malaya atau PERSAMA. Lirik lagu ini saya tulis dalam masa 10 minit sahaja. Kisahnya, ketika itu artis dan pekerja di Studio MFP Jalan Ampas mengadakan mogok.
“Jadi, dalam majlis sambutan Aidilfitri tahun itu, kerana mahu memungut dana persatuan, PERSAMA mengadakan pertunjukan pentas di Taman Hiburan Happy World.
“Sedang saya menolong kawan-kawan membuat persiapan, P. Ramlee datang menyerahkan sekeping kertas yang ada nota suku kata sebuah lagu dan menerangkan bahawa nota itu untuk lagu pembukaan pertunjukan pada malam itu dan saya mesti menyiapkannya sebelum pertunjukkan bermula.
“Keadaan memaksa, maka saya menyiapkan lirik lagu itu dalam waktu singkat. Hinggalah kini lagu ini masih berkumandang pada setiap kali Hari Raya menjelma.” kata Jamil Sulong, dipetik dari blog Datuk Jamil Sulong.
Menjelang tahun 1969 lagu “Selamat Hari Raya” ni telah dirakam semula dan dipopularkan oleh Ahmad Jais. Siapa yang tak tahu lagu ni, boleh dengar dengan tekan video di bawah: