MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) dengan penuh rasa dukacita menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran gas Petronas baru-baru ini yang telah mengakibatkan kecederaan dan kerosakan harta benda.
Kami turut berdoa agar mereka yang cedera diberikan kesembuhan segera dan keluarga mangsa yang terkesan diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini.
MAPIM berpendapat bahawa siasatan terperinci dan menyeluruh perlu dilakukan segera bagi mengenal pasti punca kejadian serta memastikan langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat dapat diambil untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang di masa hadapan. Pihak berkuasa dan syarikat berkaitan perlu memberi keutamaan kepada keselamatan pekerja serta komuniti berdekatan bagi menjamin kesejahteraan semua pihak.
Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan, MAPIM bersedia untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada mangsa dan keluarga mereka. Kami juga menyeru semua pihak untuk bersama-sama menunjukkan solidariti dan memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka yang terjejas. Sebarang spekulasi harus dielakkan.
Kami berharap kejadian ini menjadi pengajaran dan pemangkin kepada peningkatan sistem keselamatan dalam sektor tenaga negara. Keselamatan pekerja dan penduduk sekitar tidak boleh dikompromikan. Oleh itu, kami menyeru agar pihak berkaitan memastikan langkah-langkah keselamatan dipertingkatkan secara komprehensif demi kesejahteraan semua.
MAPIM akan terus mengikuti perkembangan insiden ini dan bersedia untuk berkerjasama dengan semua pihak dalam usaha memastikan keadilan serta kebajikan mangsa terpelihara.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM
2 April 2025
Baca juga: P Ramlee pernah tulis lagu raya untuk tujuan mogok