Aksi dan gaya tarian untuk mendapatkan duit raya dilihat menjadi salah satu trend ikutan ramai yang popular bagi tahun ini sempena sambutan Aidilfitri termasuklah dalam kalangan pengguna media sosial tempatan.
Walau bagaimanapun, kehadiran trend ini juga turut mengundang perasaan kurang senang daripada segelintir pihak kerana ia melibatkan aksi joget sekali gus dikatakan kurang sesuai untuk wanita beragama Islam.
Malah pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun turut tampil memberikan teguran khususnya buat wanita Muslim yang mengikuti trend menari di platform TikTok untuk mendapatkan duit raya itu.
Ustazah Asma’ menerusi satu hantaran laman Facebook miliknya meluahkan rasa kesal memandangkan trend ini diikuti oleh ramai wanita Islam tanpa mengira peringkat umur selain menjadikannya sebagai tontonan umum.
Pendakwah berkenaan juga berharap masyarakat Muslim lebih berhati-hati dalam mengikuti sesuatu budaya atau trend selain berfikir panjang terlebih dahulu sebelum berkongsi sesuatu di platform media sosial.
“Tolonglah fikir sebelum ikut trend ambil duit raya tetapi kena joget dahulu itu. Selepas itu rakam dan dimuat naik (di media sosial). Ramai wanita Islam yang tua dan muda juga buat sama,” kesalnya.
Dalam perkongsian yang sama, Ustazah Asma’ turut mengingatkan orang ramai bahawa bulan Syawal ini sepatutnya digunakan sebagai waktu tepat buat berubah menjadi insan lebih baik.
“Bulan Syawal ini ibaratnya mereka yang balik dari Haji. Selepas sebulan Ramadan berlalu, sepatutnya kita menjadi orang yang lebih berakhlak. Jangan biasakan,” kongsi pendakwah berkenaan dalam hantaran itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Facebook turut memiliki pandangan yang sama dengan Ustazah Asma bahawa trend tersebut tidak sepatutnya dijadikan kebiasaan oleh wanita Muslim.
Ramai juga pengguna berharap supaya wanita Muslim lebih peka selepas ini terutamanya mengenai adab dan maruah mereka di musim perayaan Aidilfitri yang sepatutnya dilalui dengan kesederhanaan, kesopanan dan juga kegembiraan mengikut tuntutan agama.
Baca juga: Saluran gas Petronas terbakar, penduduk lari turun pinggir sungai – “Bahang panas sangat”