Baru-baru ini tular rakaman papan pemuka (dashcam) di media sosial memaparkan seorang pemandu lori jatuh terduduk selepas diterkam seekor harimau kumbang di tepi jalan raya.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pada jam 3.30 petang semalam di tepi jalan raya dekat Bukit Tangga, Seremban, Negeri Sembilan selepas pemandu itu dikatakan turun daripada lori untuk membuang air kecil.
Menerusi rakaman berdurasi 16 saat yang dikongsikan di platform TikTok itu, kelihatan pemandu terbabit sedang bergelut dengan binatang berkaki empat berwarna hitam dipercayai harimau kumbang di belakang lori.
Harimau kumbang berkenaan kemudian tampak seolah-olah terkejut dengan kehadiran kereta kepunyaan pemilik rakaman dashcam sebelum melepaskan pemandu lori itu dan melarikan diri ke seberang jalan.
Pemandu lori itu dilihat rebah di tepi jalan sebaik terlepas daripada cengkaman harimau kumbang berkenaan lalu pemilik rakaman dashcam turut memperlahankan kereta dipercayai untuk melihat keadaan mangsa.
“Harimau kumbang terkam pemandu lori di Bukit Tangga. Semoga tiada kecederaan yang serius kepada pak cik tersebut. Amin,” tulis pemilik rakaman yang sudah meraih 50,000 tontonan itu di ruangan kapsyen.
Dalam perkembangan terbaharu, pemandu lori terbabit dilaporkan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Bagaimanapun menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri, mangsa yang berusia 50-an itu kini berada dalam keadaan stabil.
Memetik laporan Sinar Harian, Faizal juga memaklumkan pihaknya sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan binatang buas berkenaan dipercayai keluar ke jalan raya daripada kawasan hutan yang terletak berhampiran.
“Kakitangan Perhilitan telah melawat mangsa di hospital dan memberikan khidmat nasihat kepadanya agar lebih berhati-hati selepas ini. Perhilitan juga akan menjalankan pemantauan dan rondaan di lokasi kejadian,” katanya.
Pengguna jalan raya juga disarankan untuk lebih berhati-hati ketika melalui laluan yang dikenal pasti sebagai lintasan hidupan liar dan mendapatkan bantuan jabatan atau pihak berkuasa jika terserempak dengan haiwan itu.
Baca juga: Bermula hanya 5 ekor, peneroka Felda ini berjaya ternak ratusan lembu, kerbau