Dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan pemergian penyanyi rap yang juga anggota kumpulan Nico G iaitu Nico susulan disahkan meninggal dunia di kediaman rakannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur, malam tadi.
Difahamkan, pemilik nama sebenar Abdul Fashah Abdul Aziz itu menghembuskan nafas terakhirnya di dalam keadaan tenang ketika sedang tidur pada sekitar pukul 11 malam selepas singgah berehat di kediaman tersebut.
Bekas pengurus Nico, Ayob Abd Majid memaklumkan bahawa sudah menjadi kebiasaan untuk penyanyi berusia 52 tahun terbabit singgah berehat di kediaman rakannya selepas membuat perkhidmatan e-hailing.
Namun alangkah terkejutnya rakan Nico apabila mendapati anggota kumpulan rap legenda berkenaan sudah tidak bergerak selepas mengejutkannya bangun daripada tidur, lapor Kosmo.
“Arwah memang biasa singgah Kampung Baru walaupun menetap di Cheras. Malam itu pun, dia singgah sekejap selepas memandu Grab. Tiba-tiba rakan cuba kejut, tetapi dia sudah tidak bergerak.
“Waktu itu, saya dapat panggilan kira-kira jam 11.15 malam. Jenazahnya kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” kata Ayob ketika menyampaikan khabar duka itu memetik laporan Kosmo.
Ayob ketika diminta mengulas punca kematian penyanyi berkenaan memberitahu bahawa keputusan bedah siasat masih belum diperoleh dan pihak keluarganya memilih untuk menunggu laporan penuh terlebih dahulu.
Sekadar info, Nico mula mencipta nama sekitar awal 1990-an bersama anggota kumpulan yang lain iaitu Affa dan Dino di mana mereka pernah menggegarkan industri muzik tanah air menerusi lagu Inilah Nasibku.
Lagu tersebut pernah menjadi fenomena pada tahun 1993 sehingga kumpulan itu disifatkan sebagai perintis terawal industri hip hop di Malaysia dengan mengetengahkan genre muzik jalanan dan G Funk.
Kumpulan Nico memulakan kerjaya mereka dengan pengeluaran album Buatan Los Angeles pada tahun 1993 sebelum tampil bersama Realiti (1995) kemudian diikuti Alamak! setahun selepas itu.
Namun kumpulan tersebut juga sempat menyepi dalam tempoh beberapa tahun sebelum membuat kemunculan semula pada 2003 bersama ahli baharu, E-zad menerusi album Ops Kecoh.
Album itu bagaimanapun kurang mendapat sambutan dan kumpulan tersebut sempat hilang daripada industri sebelum muncul kembali menggunakan nama Nico G sebagai langkah penjenamaan semula.
Baca juga: Cucu sedih nenek kena palau anak-anak hanya sebab nak kahwin lain