Satu rakaman memaparkan perbuatan seorang wanita berbangsa India menyantuni warga emas yang dipercayai tinggal sebatang kara di sebuah rumah di Kluang, Johor telah berjaya menyentuh hati orang ramai, baru-baru ini.
Mana tidaknya, wanita itu bukan sahaja melayani warga emas berlainan bangsa terbabit dengan begitu lembut dan mesra malah turut memberikan hadiah yang cukup bermakna sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Berdasarkan rakaman yang dikongsikan di laman TikTok itu, wanita India itu dilihat menghadiahkan sepasang baju kurung berwarna merah dan kuih-muih supaya sambutan Aidilfitri bagi warga emas terbabit lebih bermakna.
Warga emas yang sudah lanjut usia itu juga dilihat begitu ceria ketika menyambut kehadiran wanita India terbabit malah turut bertindak mencium pipinya mungkin mahu menunjukkan tanda penghargaan dan berterima kasih.
“Nenek tinggal seorang diri, tak tahu anak dia pergi mana. Kasihan saya tengok nenek ini. Dia seorang sahaja dekat rumah. Nenek, ‘I love you’ (saya sayangkan awak).
“Ini saya bagi duit raya dan jangan lupa pakai baju baru itu,” kata wanita terbabit di dalam rakaman berdurasi dua minit 45 saat yang kini sudah meraih sebanyak 671,000 tontonan daripada pengguna TikTok itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memuji keprihatinan wanita India terbabit kerana sudi membantu tanpa mengira bangsa dan agama.
Ramai juga pengguna berkongsikan rasa simpati dengan nasib menimpa warga emas berkenaan selain meminta alamatnya ekoran mahu turut berkunjung ke rumahnya bagi menghulurkan bantuan.
Dalam perkongsian seterusnya, wanita terbabit kembali berkunjung ke rumah warga emas itu dengan membawa buah tangan berbentuk hamper iaitu bakul besar berisi pelbagai barangan makanan dan beberapa jenis air minuman.
Namun situasi menjadi lebih mengharukan apabila nenek berkenaan secara kebetulan memakai baju raya berwarna merah yang sebelum ini dihadiahkan oleh wanita India terbabit di dalam kunjungan awal.

Baca juga: Kecewa ada pemborong minta harga tak masuk akal sehingga 70 sen untuk 1kg tembikai