Pegawai polis disyaki minta suapan RM10,000 dari keluarga mangsa rogol, ditahan reman 3 hari

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pegawai polis dikenakan perintah reman selama tiga hari untuk membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan sebanyak RM10,000 daripada keluarga mangsa rogol.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi tadi selepas Majistret Rais Imran Hamid menerima permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, penahanan reman ke atas lelaki berusia 30-an berkenaan dibuat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, suspek yang menaiki van SPRM tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Kota Bharu sekitar pukul 8.20 pagi dengan memakai baju lokap agensi itu bersama seluar biru gelap untuk prosiding reman.

Pegawai polis itu sebelum ini ditahan SPRM Kelantan di pejabatnya yang terletak di Jeli, petang semalam kerana disyaki meminta suapan berjumlah RM10,000 daripada keluarga mangsa rogol, lapor Berita Harian.

Tangkapan dibuat selepas suspek didakwa meminta wang daripada pengadu yang juga seorang wanita sebagai imbuhan untuk menutup kes rogol membabitkan anak perempuan mangsa.

Kejadian rogol berkenaan dilaporkan berlaku beberapa bulan lalu yang mana wanita itu masih belum membuat sebarang laporan rasmi melibatkan kes rogol dialami oleh anaknya itu.

Dalam pada itu Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain mengesahkan tangkapan itu ketika dihubungi oleh pihak media selain memaklumkan bahawa suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu.

Baca juga: 19 tahun tak hadir mengajar, Kementerian Pendidikan Kuwait terkejut bekas guru terima gaji RM1.5 juta