Ibu kecewa anak letak semua duit raya dalam tabung masjid, habis wang belanja setahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian daripada seorang ibu yang meluahkan kekesalannya kerana anak-anaknya telah ‘menghabiskan’ duit raya begitu sahaja di dalam tempoh singkat.

Walau bagaimanapun, duit tersebut tidaklah dibelanjakan oleh anak-anaknya yang masih remaja itu ke tempat tidak berfaedah sebaliknya bertujuan untuk bersedekah dengan memasukkannya ke dalam tabung masjid.

Namun sang ibu tetap merasa kecewa kerana duit raya di dalam jumlah yang cukup besar itu diserahkan kepada anak-anak dengan hasrat mahu mendidik mereka untuk belajar menguruskan kewangan sendiri sejak awal.

Sayangnya peluang berkenaan tidak diambil malah anak-anaknya memilih menghabiskan duit raya begitu sahaja sedangkan jumlah itu cukup untuk menampung semua perbelanjaan remaja terbabit dalam tempoh setahun.

“Geram sangat. Saya dan suami masing-masing berikan anak kami duit raya dengan jumlah yang SANGAT BESAR. Hari ini saya sengajalah tanya apakah rancangan mereka untuk membelanjakan wang itu.

“Kata mereka, ‘saya sudah letak di dalam tabung masjid’. Mereka boleh pula sedekahkan wang kepada orang lain sedangkan diri itu masih menerima elaun mingguan dari ibu bapa. Sebenarnya ini adalah ujian kami buat mereka.

“Untuk melihat bagaimana mereka menguruskan wang. Alamak! Kita memang harusnya membantu orang miskin tetapi bukannya menjadi sebahagian dari mereka. Tidak bertanggungjawab. Masa untuk mereka cari duit sendiri,” katanya.

Dalam perkongsian sama, wanita terbabit turut berkongsi rasa hampa kerana anak-anaknya masih bertegas bahawa tindakan itu betul selain tidak memahami mengapa ibu mereka kecewa apabila wang tersebut didermakan.

Perkongsian yang berjaya mengundang perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial tempatan itu dikongsikan oleh ibu berkenaan menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Threads.

“Wang itu boleh buat belanja mereka selama setahun! Anak saya kena belajar nilai wang. Jika betul nak sedekah dalam jumlah yang besar, gunalah duit sendiri. Sakit hati apabila tahu saya besarkan anak yang mudah diperdaya,” kesalnya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna yang datang dari golongan ibu tidak bersetuju dengan pendapat wanita berkenaan kerana anaknya telah melakukan perkara positif dan berfaedah.

Ramai juga pengguna memahami tujuannya mengajar anak menguruskan kewangan namun wanita berkenaan seharusnya memaklumkan bahawa duit raya itu adalah wang perbelanjaan mereka untuk setahun dan tidak boleh digunakan sesuka hati.

“Faham, anda kecewa. Tetapi menderma kepada tabung masjid tidak membuatkan seseorang itu miskin. Tidak tahulah kalau awak faham konsep rezeki. Tetapi saya doakan anak awak diberikan sebaik-baik balasan. Reda sahajalah. Ini mungkin ujian untuk awak juga,” kata seorang pengguna.

“Sepatutnya sebelum berikan duit raya, beritahu mereka yang amaun dalam sampul itu adalah perbelanjaan untuk setahun. Jikalau mereka habiskan (macam kes ini untuk menderma), anda tidak akan menggantikannya. Jadinya kalau mereka inginkan apa-apa selepas ini, kenalah guna duit sendiri.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Bagaimana lantai marmar di Masjidil Haram kekal sejuk walau cuaca sangat panas?