Berita baik untuk peminat EPL di Malaysia, kelab gergasi Manchester United bakal beraksi melawan ASEAN All Star di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada 28 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif di Manchester United, Omar Berrada dalam kenyataannya berkata mereka berbesar hati menganjurkan perlawanan ini untuk peminat disebabkan tahap sokongan yang begitu menakjubkan diterima Manchester United.
“Yang penting, perlawanan ini mampu memacu hasil tambahan yang besar membantu menjadikan kelab lebih kukuh, membolehkan kami terus melabur dalam kejayaan di atas padang.
“Ia juga dapat mewujudkan peluang unik untuk kami bekerjasama dengan rakan komersial kami yang dihargai, dan untuk mengeratkan hubungan dengan peminat kami di rantau seperti Asia dan AS,” katanya.
Berita ini turut menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ciapannya di X.
“Semua negara ASEAN turun sebagai pasukan menentang Man United #ASEAN2025 #GGMU,” tulisnya sambil diiringi lagu keramat Manchester United berjudul Glory Glory Man United.
Kali terakhir United beraksi di Malaysia adalah pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI dua kali, 3-2 dan 2-0, masing-masing pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.

Harga tiket perlawanan Manchester United vs ASEAN All-Stars bermula daripada RM50
Sepak mula perlawanan tersebut adalah pada jam 8.45 malam, hari Rabu, 28 Mei 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Berikut adalah senarai harga tiket yang tersedia mengikut kategori:
- CAT 7 – RM50
- CAT 6 – RM100
- CAT 5 – RM250
- CAT 4 – RM380
- CAT 3 – RM580
- CAT 2 – RM780
- VIP – RM1,500
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyaksikan perlawanan ini, daftar sekarang di SINI untuk mengakses pra-jualan tiket eksklusif.
Bagi peminat yang merupakan pelanggan Maybank Visa, anda boleh mengakses tiket melalui pra-jualan eksklusif di SINI bermula sekarang sehingga 11 April ini.
Baca: anwar-3