Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan dua orang kanak-kanak lelaki sedang berada di dalam sebuah kedai perhiasan emas dengan memegang helaian tebal berupa wang tunai milik masing-masing.
Rupa-rupanya, kanak-kanak terbabit adalah adik-beradik dan wang tunai dibawa oleh mereka ke kedai perhiasan itu adalah hasil kutipan duit raya yang berjaya dikumpul ketika perayaan Aidilfitri.
Kanak-kanak pada kebiasaannya akan memilih membeli permainan ataupun gajet baharu menggunakan duit raya mereka namun lain pula bagi adik-beradik terbabit yang memutuskan untuk menukarkannya kepada cincin emas.
Namun perkara yang lebih mengharukan dalam rakaman dikongsikan di platform TikTok itu adalah tindakan kanak-kanak berkenaan memilih rekaan cincin emas sesuai untuk dipakai oleh ibu mereka.
Rakaman berdurasi 42 saat tersebut dimuat naik di akaun milik wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak terbabit yang memaparkan proses ketika mereka berdua memilih cincin emas sebelum bersetuju membeli perhiasan itu.
Sang ibu menerusi ruangan kasyen turut meluahkan rasa terharu dan berbangga kerana anak-anaknya membuat keputusan yang betul dengan membelanjakan duit raya mereka untuk pelaburan masa akan datang.
“Duit raya tukar kepada emas. Anak-anak kata mereka nak pilih sendiri untuk Mama pakai. Untuk kedepan hari nanti, tak mustahil jumlahnya (harga cincin emas) bertambah lima kali ganda.
“Nampak suka tuan kedai tengok gelagat mereka ini pilih (emas). Saya bangga dengan kedua-dua anak lelaki saya,” kata pemilik akaun itu memuji keputusan kewangan yang dibuat kanak-kanak berkenaan.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah berjaya meraih hampir mencecah setengah juta tontonan dan 16,700 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya memuji tindakan kanak-kanak terbabit.
Ramai juga pengguna tampil memberikan cadangan di mana duit raya boleh dikembangkan di dalam pelaburan logam berharga itu selain pembelian perhiasan seperti mengumpul bar, jongkong atau melabur di syarikat perdagangan emas.
“Tak pernah terfikir pula nak buat macam ini. Bagus juga ya. Esok kalau anak-anak sudah berumur 18 tahun kelak, Alhamdulillah mereka sudah ada simpanan,” kata seorang pengguna yang terinspirasi dengan perkongsian itu.
“Saya juga tukarkan duit raya anak lelaki dengan bar emas jenis 999. Emas ini memang sangat-sangat untung dibuat sebagai simpanan. Daripada simpan sahaja di dalam bank.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: BMW dari Singapura kantoi isi RON95, tindakan pekerja pam minyak ini buat ramai puas hati