Seorang pemuda berusia 27 tahun ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan kes atas kesalahan mencabul kehormatan gadis yang sedang berjoging dan bersenam di taman rekreasi, kelmarin.
Kejadian mendebarkan itu difahamkan berlaku di Taman Rekreasi Bukit Serindit, Melaka di mana pemuda terbabit bertindak memeluk sebelum menarik gadis berkenaan ke dalam semak.
Mangsa berusia 20 tahun itu dikatakan sedang berjoging bersendirian dan didatangi oleh suspek yang secara rakus mencabul kehormatannya dalam kejadian berlaku sekitar pukul 10 malam tersebut.
Susulan kejadian itu, sepasukan anggota daripada Balai Polis Banda Hilir terus menjalankan operasi memburu suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira pada jam 12.05 tengah malam semalam di sekitar lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, siasatan awal pihaknya mendapati suspek yang masih bujang dan tidak bekerja itu bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah, lapor Berita Harian.
“Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebat atau denda.
“Atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika disabitkan kesalahan,” katanya di dalam satu kenyataan memetik laporan Berita Harian untuk mengulas kes yang sebelum ini tular di media sosial itu.
Dzulkhairi dalam kenyataan itu turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar serta tidak bersendirian untuk mengelakkan daripada kejadian sama seperti itu berlaku lagi.
Terdahulu, kes tersebut hangat diperkatakan di platform media sosial sebaik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem memuat naik hantaran mengenainya di akaun Facebook miliknya.
Menyifatkan kejadian sebagai jijik dan sangat memalukan, Mohd Noor Helmy memaklumkan bahawa mangsa yang sedang berjoging itu dipeluk daripada belakang, ditekup mulut dan cuba ditarik ke dalam semak.
Beliau yang juga Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri itu bagaimanapun merasa lega berikutan orang ramai yang ternampak kejadian tersebut tampil membantu wanita berkenaan.
“Saya sudah menghubungi Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara seperti ini.
“Saya memberi jaminan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerusi anggota penguat kuasanya akan mempertingkatkan rondaan di kawasan ini. Golongan ‘joggers’ juga diminta lebih berhati-hati.” Ujarnya.
Baca juga: Dulu berangan nak rumah dua tingkat tapi mak tak bagi, bila dah tua baru faham kenapa…