Azlan Komeng hormat tindakan isteri fail fasakh, bertegas tak akan lepaskan Nur Nilam

Oleh WAN SITI AMINAH

Teka-teki tentang kehadiran isteri kepada pelakon, Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat baru-baru ini akhirnya terungkai apabila wanita itu dikatakan telah memfailkan fasakh.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Azlan yang tampil memberi kenyataan mengenai konflik rumah tangganya yang dikatakan berpunca daripada orang ketiga menerusi satu perkongsian di akaun TikTok miliknya.

Dalam perkongsian video berdurasi satu minit 59 saat itu, pelakon berusia 48 tahun terbabit berkata bahawa dirinya menghormati segala tindakan isteri termasuklah dalam membuat permohonan tuntutan fasakh.

Azlan atau nama sebenarnya, Muhammad Azlan Kamiran itu bagaimanapun bertegas tidak akan berpisah dengan isterinya iaitu Nur Nilam Ortiz berikutan memiliki alasan tersendiri yang belum boleh didedahkan.

Pelakon itu juga meminta orang ramai supaya bersabar selain mengakui sedang berusaha untuk memperbaiki hubungannya dengan Nilam dan akan memberikan penjelasan mengenai isu ini suatu hari nanti.

“Macam yang semua sedia maklum, isteri saya sudah pun memfailkan fasakh. Saya hormati apa sahaja tindakan yang dia buat. Namun apa yang saya nak beritahu adalah, saya tidak akan melepaskan isteri saya.

“Kerana saya ada alasan yang tersendiri. Belum masanya lagi untuk saya kongsikan dengan anda semua. Saya mohon kesabaran daripada pihak-pihak yang tertentu, untuk beri ruang dan masa.

“Kerana ada sesuatu yang sedang saya usahakan. Apabila sudah sampai waktu yang tepat, akan saya kongsikan. Insya-Allah,” kata pelakon berkenaan di dalam hantaran video dimuat naik di platform TikTok itu.

@azlankomeng_official

Mohon bertenang dan beri ruang harap semua dapat memahami apa yang sedang kami hadapi. #nilambidadariku #love #mywife #bidadariku #husbandwife

♬ original sound – AzlanKomeng – AzlanKomeng

Dalam perkongsian yang sama, Azlan juga memberitahu masih menyayangi isterinya dan berharap agar Nur Nilam memberinya sedikit masa untuk menyelesaikan masalah mereka.

Azlan juga berjanji akan menjalankan tanggungjawabnya dan tetap melindungi Nilam sebaik mungkin serta yakin akan menemukan jalan terbaik untuk menghentikan konflik rumah tangga mereka.

“Kepada isteri, harap awak boleh bersabar dan beri sedikit masa untuk saya selesaikan perkara yang perlu dibuat. Macam mana pun saya tetap dan akan terus sayangkan awak. Awak memang sangat penting dalam hidup saya.

“Insya-Allah, saya akan bertanggungjawab dan melindungi awak semampu yang mungkin. (Saya yakin) akan ada jalan yang terbaik.” Tegasnya dalam video yang kini sudah meraih mencecah 300,000 tontonan itu.

Terdahulu, Nilam memuat naik satu video memaparkan keberadaan dirinya di Mahkamah Rendah Syariah Ulu Langat pada Rabu lalu sehingga menimbulkan perbincangan di media sosial tentang status perkahwinannya.

Nilam sebelum ini juga pernah berkongsi rakaman ketika suaminya sedang berbual dalam telefon dengan seorang wanita didakwa akan dijadikan sebagai isteri kedua Azlan iaitu bakal madunya.

Baca juga: Bina tanpa kebenaran, DBKL arah pemberhentian kerja pembinaan kuil