Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berpeluang membuka sendiri kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam olehnya hampir 30 dekad lalu dalam satu majlis bersejarah di Menara Kuala Lumpur.
Difahamkan, kapsul yang mengandungi pelbagai barangan simbolik mencerminkan aspirasi Malaysia untuk mencapai status negara maju seperti di dalam gagasan Wawasan 2020 itu ditanam pada 1 Oktober 1996.
Mereka yang hidup pada era tersebut semestinya masih tertanya-tanya mengenai isu atau mesej yag ditulis oleh Mahathir dimasukkan ke dalam kapsul tersebut ditanam bersempena perasmian Menara Kuala Lumpur.
Antara barang-barang yang dikeluarkan daripada kapsul itu adalah gambar pembinaan, poster dan keratan iklan Menara Kuala Lumpur, wang kertas RM2, filem gambar, cakera padat video (VCD) dan banyak lagi.
Dr Mahathir yang merupakan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu juga sempat membaca sajak bertemakan patriotik disifatkannya cukup menggamit memori ekoran disimpan di dalam kapsul masa tersebut.
Pemimpin yang kini berusia 99 tahun itu juga langsung tidak menyangka namun rasa bersyukur masih memiliki peluang untuk membuka kapsul ditanam olehnya sendiri ketika berumur 70 tahun.
Majlis pembukaan bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad’ itu dianjur dan dibiayai oleh pihak Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) sebagai tanda penghargaan kepada warga kerjanya dan jasa pemimpin yang mencetuskan idea pembinaan menara ikonik negara tersebut.
Sekadar info, Kapsul Masa pertama yang dibuka selepas 28 tahun ditanam itu seharusnya dibuka pada 2020 namun ditangguhkan kerana pelbagai faktor termasuklah pandemik Covid-19.
Kunci kapsul dijaga dengan penuh amanah selama lebih 28 tahun oleh Ketua Pegawai Operasi MKLSB iaitu Affandi Abdullah sekali gus menujukkan satu simbol dedikasi terhadap pemeliharaan warisan negara.
Pihak pengurusan MKLSB kemudian bertemu dengan Dr Mahathir pada 4 April lalu untuk menyerahkan semula kunci sebelum pemimpin itu menyatakan hasrat untuk hadir sendiri dan bersetuju membuka kapsul sempena sambutan Aidilfitri.
Pembukaan kapsul masa di Menara Kuala Lumpur itu dijangka boleh menghubungkan semula generasi terkini dengan sejarah pembangunan negara selain membangkitkan semula nostalgia era Wawasan 2020.
Baca juga: Gandingan hero paling padu, baru dua hari tayangan Blood Brothers dah kaut hampir RM10 juta