Satu rakaman memaparkan suasana dalam majlis jamuan raya yang dianjurkan di sebuah sekolah rendah terletak di Kuala Lumpur telah berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, jamuan tersebut diadakan dengan cukup meriah yang mana makanan dihidangkan dalam kuantiti banyak dan murid juga disajikan pelbagai pilihan seperti juadah Aidilfitri, hidangan barat dan pencuci mulut.
Jamuan berkenaan juga disifatkan sebagai lain daripada yang lain kerana majlis seperti itu kebiasaannya diadakan secara berasingan dalam kelas masing-masing dan setiap pelajar juga perlu membawa makanan.
Sebaliknya, sekolah tersebut mengadakan jamuan di satu lokasi menggunakan konsep bufet melibatkan 1100 murid di mana para guru secara sukarela melayan pelajar dengan meletakkan makanan di pinggan mereka.
Menerusi rakaman yang dikongsikan di platform TikTok itu, terdapat tujuh jenis ‘kiosk’ atau gerai menghidangkan jenis makanan berlainan terdiri daripada juadah Aidilfitri seperti lemang, ketupat dan rendang di meja pertama.
Pelajar boleh mendapatkan air minuman di meja kedua, pencuci mulut di gerai ketiga, makanan barat di ruangan keempat dan tidak ketinggalan aneka nasi (kelima), sate bersama aneka ayam (keenam) serta aiskrim (ketujuh).
Walaupun jamuan dilihat diadakan secara besar-besaran, namun murid tidak perlu membuat bayaran kerana perbelanjaan ditampung sumbangan dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditambah pemberian ikhlas ibu bapa serta guru.
Menurut guru yang memuat naik rakaman itu di platform TikTok, majlis jamuan raya berkenaan diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Hussein Onn terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa tumpang gembira melihat kemeriahan majlis selain memuji inisiatif pihak sekolah menganjurkan jamuan sedemikian.
“Bagus idea macam ini. Tak semua murid berkemampuan untuk makan menu seperti yang terhidang. Jadi apabila ada majlis seperti ini. Tiba masanya untuk mereka merasa juadah tersebut,” kata seorang pengguna.
“Tahniah yang pertama kepada pengetua kerana berjaya jadikan contoh baik kepada ibu bapa, anak-anak murid dan yang paling hebat iaitu guru-guru. Dengan cara ini, ibu bapa yang susah tidak terbeban. Anak murid yang susah pula, bersatu.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Berjam-jam tidur tegak atas motor, netizen syak lelaki hisap vape mushroom