Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang wanita yang meluahkan kekesalan selepas menikmati hidangan nasi kerabu dibelinya di sebuah pasar pagi di Shah Alam, Selangor.
Menerusi satu hantaran di platform TikTok, wanita terbabit memaklumkan bahawa dirinya dan suami membeli dua bungkus nasi kerabu dengan pelbagai jenis lauk di pasar pagi berkenaan.
Walau bagaimanapun, mereka terkejut apabila dikenakan caj sebanyak RM44 untuk dua bungkus nasi kerabu yang mana suaminya telah mengambil lauk ikan, daging dan solok lada.
Manakala sang isteri pula memesan nasi kerabu bersama lauk ayam bakar, solok lada dan keropok seperti di dalam gambar yang dimuat naik menerusi perkongsian di akaun TikTok miliknya itu.
Wanita itu mengakui tidak keberatan untuk membayar dengan harga sedemikian sekiranya hidangan tersebut terasa enak namun sayangnya kurang sesuai dengan selera malah lauk dagingnya juga keras seperti batu.
“Mula-mula dengar harganya RM14. Rupanya kena RM44. Suami aku cakap, kalau RM30 boleh terima lagi. Aku rasa sebab ambil solok lada dan tambah daging. Peniaga itu mungkin guna daging wagyu.
“Tetapi dagingnya keras serupa dengan batu,” kata wanita terbabit di dalam ruangan kapsyen perkongsian yang kini sudah berjaya meraih tontonan daripada 334,800 pelayar TikTok itu.
Perkongsian tersebut mengundang perbincangan hangat di ruangan kapsyen yang mana rata-rata pengguna TikTok bersetuju bahawa caj sebanyak RM44 dikenakan peniaga untuk dua bungkus nasi kerabu sememangnya mahal.
Beberapa pengguna bagaimanapun berkongsi pendapat bahawa harga sedemikian tidaklah terlalu mahal untuk nasi kerabu namun wanita terbabit menegaskan bahawa rasa hidangan itu tidak berbaloi dengan caj dikenakan.
“Keras dagingnya. Suami saya mamah-mamah selepas itu buang balik. Tak boleh telan weh, risaulah kalau tercekik nanti kena pergi ke hospital,” tambah wanita itu lagi ketika membalas komen pengguna TikTok.
“RM44 itu baik guna beli tiket bas untuk balik kampung. Boleh beli (nasi kerabu) dalam RM3 atau RM4 sebungkus. Selain makan, boleh jumpa mak. Tambah RM10 sahaja.” Kongsi pengguna lain.
Ramai juga pengguna meminta pelanggan itu membuat aduan namun dalam balasan komen untuk memberitahu perkembangan terbaharu, wanita terbabit mengatakan bahawa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah menghubunginya.
Hal ini kerana perkongsiannya sudah tular dan mendapat perhatian KPDN selepas hantaran itu dimuat naik semula oleh orang ramai di pelbagai laman media sosial termasuk di platform Facebook.
Baca juga: Dibuang kerja sebab balik seminit awal, wanita menang saman