Pernah tular di media sosial mengenai seorang lelaki menjual daging salai menerusi siaran langsung untuk menampung kos pembedahan bagi memasang implan tempurung kepala.
Ceritanya bukan sahaja mendapat perhatian rakyat Malaysia malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM15,000.
Usai pembedahan yang sudah berjaya diselesaikan, Muhammad Sufi Abdul Aziz kini mahu kembali menjual daging salai untuk meneruskan kelangsungan hidup lapor Harian Metro,
Jelasnya, dia juga perlu perlu melunaskan bayaran RM4,680 kepada jururawat peribadi yang menjaganya selama tiga minggu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Keadaan saya semakin pulih dan saya merancang kembali menjual daging salai selepas raya ini dan berharap masih ada yang menyokong perniagaan saya
“Ketika dirawat di HSB, ibu tidak mampu jaga, jadi kami upah jururawat peribadi dan bayarannya belum lunas sepenuhnya.
“Selain itu, saya juga perlu jelaskan bayaran pinjaman rumah RM1,300 dan pinjaman peribadi RM500 setiap sebulan.
“Saya kini hanya dibayar separuh gaji (RM1,500 sebulan) kerana mengambil cuti sakit lebih setahun, jadi saya harap dapat bekerja semula dengan segera,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu, Muhammad Sufi mengakui kini dirinya sudah boleh makan tanpa berpantang dan keadaan kembali normal.
“Sebelum ini ada orang takut tengok keadaan kepala saya, tapi sekarang semuanya sudah kembali normal selepas pembedahan memasang implan tempurung kepala berjaya.
“Saya juga sudah boleh makan apa saja, tidak perlu berpantang, percakapan juga semakin jelas dan tidak lambat seperti sebelum pembedahan,” ujarnya.
Baca juga: Wanita 63 tahun beli rumah 2 tingkat untuk didiami lebih 30 kucing terbiar – “Saya tak tinggal sini”