Gelagat biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika menjodohkan pelawak dan penyanyi terkenal iaitu Zizan Razak dengan pengawal peribadinya telah berjaya meraih perhatian ramai baru-baru ini.
Kejadian berlaku ketika penyanyi nombor satu negara itu sedang melakukan sesi siaran langsung di platform TikTok dalam satu majlis diadakan sempena sambutan hari raya yang turut dihadiri oleh Zizan Razak.
Pemilik nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin itu duduk di meja yang sama dengan Zizan Razak sebelum ‘mengusik’ pelawak terbabit mengatakan mahu menjodohkannya bersama Mimi iaitu pengawal peribadinya.
Menurut penyanyi yang lebih mesra disapa sebagai TokTi itu, pengawal peribadinya dilihat sesuai disatukan dengan Zizan Razak kerana kedua-duanya berasal daripada negeri sama iaitu Terengganu.
Sesi siaran langsung memperlihatkan gelagat para artis yang menghiburkan orang ramai itu sempat dirakam oleh salah seorang penonton sebelum dimuat naik semula di platform TikTok.
“Jodohkan dengan Mimi. ‘Bodyguard’ (pengawal peribadi) saya. Orang Terengganu juga. Senang nanti tak payahlah bergaduh kalau nak balik kampung. Mimi juga memahami pekerjaan selebriti. Dia bujang lagi.
“Mimi juga orangnya serba boleh. Memasak, boleh bawa kereta, lori dan bot. Menyelam juga boleh. Semua boleh. Boleh belaka (semuanya). Nanti kita kenalkan. Kalau kahwin, dua-dua boleh jadi pengawal peribadi,” seloroh Siti Nurhaliza.
Selepas mendengar cadangan Datuk Siti Nurhaliza, Zizan Razak kemudian menjawab bahawa penyanyi berkenaan kini sudah pandai berjenaka sehingga boleh mengambil alih pekerjaan pelawak.
Tinjauan di ruangan komen turut mendapati orang ramai terhibur dengan gelagat Siti Nurhaliza yang mahu menjodohkan pengawal peribadinya dengan Zizan Razak namun bersetuju jika mereka berdua disatukan.
Ramai juga pengguna TikTok sempat menegur nada ketawa Siti Nurhaliza yang dikatakan terdengar cukup merdu seperti sedang menyanyi walaupun penyanyi berkenaan dilihat santai sahaja.
Difahamkan, sesi siaran langsung itu dilakukan ketika Siti Nurhaliza dan Zizan Razak menghadiri majlis diadakan sempena Hari Raya iaitu Aidilfitri TikTok Shop Raikan Raya bersama barisan selebriti dan pempengaruh media sosial lain.
Baca juga: Enggan ambil tindakan undang-undang, Aaron Aziz hanya mahu agensi umrah bayar semula RM90k