Dua media telah dipanggil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC) berikutan tindakan mereka memaparkan Jalur Gemilang secara yang tidak lengkap.
Tindakan ini diambil kerana perbuatan berkenaan telah menimbulkan sangkaan tidak baik dan bertentangan dengan undang-undang negara ini.
Laporan ini dibuat sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping sekarang.
Menurut satu kenyataan, dalam kes pertama, akhbar Sin Chew Daily sebuah media cetak telah gambar bendera Malaysia tanpa bulan sabit di muka depan surat khabar berkenaan pada 15 April.
Ekoran itu, tindakan ini telah melanggar dua akta iaitu Akta Lambang dan Nama 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]
“Siasatan ini dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” kata kenyataan itu.

(Sin Chew Daily menyiarkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit telah menimbulkan kekecohan dan salah tanggap)
Untuk kes kedua pula, media Mandarin, Kwong Wah Yit Poh, versi online yang telah memuat naik gambar bendera tanpa bulan sabit di Facebook rasmi mereka.
“Undang-undang yang digunakan adalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Seksyen 233.
“Oleh itu, siasatan dibuat oleh MCMC,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Sin Chiew Daily akan mengambil tindakan disiplin terhadap petugas yang bertanggungjawab atas kesilapan membabitkan paparan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar itu semalam.
Menerusi kenyataan, akhbar yang sudah berusia 96 tahun itu memaklumkan pihaknya sudah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci berkaitan insiden itu.
“Jabatan Pengarang Sin Chew Daily sudah menambah baik prosedur semakan khususnya dalam aspek penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Kami berjanji untuk lebih berwaspada dan peka dalam menangani isu yang boleh menjejaskan maruah negara dan hubungan antara kaum,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, pengurusan Sin Chew Daily dengan sepenuh hati menerima titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkaitan kesilapan Jalur Gemilang yang dipaparkan di muka hadapan akhbar itu.
Titah Sultan Ibrahim, kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan (Sin Chew Daily) boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.
Seri Paduka Baginda bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak.
Sebelum ini, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu.