Jumlah kekayaan bilionair Malaysia dilaporkan meningkat dengan ketara tahun ini di mana nilai tukaran ringgit yang mengukuh melebihi lima peratus dalam tempoh 12 bulan mungkin menjadi salah satu faktor penyumbangnya.
Pasaran saham tempatan dengan 55 tawaran awal permulaan (IPO) pada tahun lalu turut membantu merangsang kekayaan mereka walau Bursa Malaysia kekal suram susulan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik.
Berdasarkan laporan dikeluarkan Forbes, jumlah kekayaan individu terkaya di negara ini telah mencatat peningkatan daripada AS$83.4 bilion atau kira-kira RM367.8 bilion pada 2024 kepada AS$90 bilion (RM396.9 bilion) di tahun ini.
Forbes turut mengeluarkan senarai 50 individu terkaya di Malaysia dengan nama ahli perniagaan terkemuka iaitu Tan Sri Robert Kuok, 101, kekal di tangga pertama dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$11.4 bilion (RM50.3 bilion).
Tempat kedua diduduki oleh pengasas bersama institusi perbankan Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan yang mempunyai nilai kekayaan berjumlah AS$9.8 bilion (RM43.2 bilion) sekali gus meningkat sebanyak AS$1 bilion (RM4.40 bilion) berbanding tahun lalu.
Nilai kekayaan para waris pengasas Public Bank iaitu adik beradik Teh juga mencatatkan peningkatan sebanyak 9.0 peratus dan mengekalkan kedudukan mereka di tempat ketiga dengan aset berjumlah AS$5.9 bilion (RM26.02 bilion).
Hartawan aluminium, Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya pula berada di tangga keempat dengan nilai kekayaan AS$5.4 bilion (RM23.84 bilion) diikuti keluarga Krishnan dengan jumlah aset AS$5.3 bilion (uRM23.4 bilion).
Waris kepada mendiang jutawan Tan Sri Ananda Krishnan membuat kemunculan pertama dalam senarai di tangga kelima susulan ahli perniagaan terbabit meninggal dunia pada November lalu di usia 86 tahun.
Sekadar info, pengasas rangkaian runcit 99 Speedmart iaitu Lee Thiam Wah turut tersenarai sebagai bilionair terkaya di Malaysia buat pertama kali di tangga kelapan dengan kekayaan AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion).

Baca juga: Bangunan paling tinggi di dunia ini masih tiada penghuni sampai sekarang