Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq baru-baru ini kembali menceritakan situasi ketika penyanyi dan pelakon iaitu Bella Astillah menyediakan sendiri juadah Aidilfitri untuk majlis rumah terbuka di kediamannya beberapa hari lalu.
Syed Saddiq menerusi satu sesi siaran langsung di laman TikTok memaklumkan bahawa dirinya tidak pernah memaksa pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu untuk memasak juadah tersebut.
Sebaliknya, ahli politik berusia 33 tahun itu terlebih dahulu memberikan cadangan untuk mengguna perkhidmatan katering sahaja namun ditolak oleh Bella yang telah memutuskan untuk membuat persiapan sendiri.
“Bella tengah memasak. Kemudian 30 saat selepas itu, dia sudah dekat luar sedang duduk mencangkung untuk membersihkan kuali. Lalu masuk ke dalam balik sebelum hidangkan masakan dekat luar.
“Saya tak paksa, namun perkara sebaliknya yang berlaku. Saya kata kita tempah katering sahaja. Tetapi Bella marah, kata mana boleh,” kongsi Syed Sadddiq dalam sesi siaran langsung yang turut disertai Bella itu.
Bella kemudian memberi penjelasan bahawa dirinya tidak keberatan untuk menyediakan sendiri hidangan pada hari terbuka tersebut malah sudah terbiasa memasak dalam kuantiti yang banyak selaku usahawan makanan.
Wanita berusia 33 tahun itu turut menyifatkan bahawa pengalamannya memasak di rumah terbuka Syed Saddiq sebagai satu perkara yang cukup menyeronokkkan selain menegaskan tiada isu paksaan berlaku.
“Dekat rumah Syed Saddiq tiada banyak kuali. Sebab dia kata bukannya nak masak selalu lagi-lagi untuk kenduri. Tetapi tiada mengapa. Kuali yang sudah digunakan itu kita basuh. Kemudian guna balik.
“Namun pengalaman memasak itu sangat seronok dan tiada paksaan. Sebab ada yang cakap ‘jangan paksa Bella’. Kawan-kawan dia (Syed Saddiq) juga ada marah. Mungkin dengar macam ramai, untuk 100 orang.
“Tetapi kamu semua lupa yang Bella juga berniaga laksa. Kita sudah biasa terima pesanan di saat akhir, orang nak juga laksa. Sudah biasa kelam-kabut seperti itu. Boleh kawal,” kata pelantun lagi Tapi Bukan Denganmu itu.
Bella juga memberitahu dirinya sempat merasa sedikit segan ketika sedang menyediakan makanan ekoran Syed Saddiq bertindak membawa rakan-rakannya masuk ke kawasan dapur.
Hal berikutan Bella berada di dalam keadaan belum ‘siap’ kerana sedang sibuk memasak ketika kejadian selain tidak memakai busana raya sebaliknya hanya berpakaian baju kelawar di dapur.
“Bella bukan bersendirian. YB (Syed Saddiq) ada berikan semangat. Tanya adakah semuanya baik-baik sahaja atau perlukan apa-apa. Tetapi yang paling geram, Bella tengah memasak dekat dapur. Tidak siap lagi.
“Sekali kawan dia sudah masuk dapur. Di dalam keadaan Bella itu dengan berbaju kelawar sebab senang memasak. Kamu semua tahu tak, dia bawalah kawan masuk dapur. Nasib dia kenalkan kepada kawannya.
“Kalau tidak, mungkin kawan dia ingat Bella ini pembantu rumah Syed Saddiq dari Filipina,” kesal wanita itu ketika berkongsi cerita di sisi ahli politik berkenaan yang terlihat sedang tertawa mengenangkan situasi tersebut.
Tidak berdiam diri, Syed Saddiq menjelaskan perkara itu perlu dilakukan kerana rakan-rakannya yang hadir dalam majlis rumah terbuka berkenaan tidak percaya bahawa semua masakan terhidang dimasak sendiri oleh Bella.
Perkongsian Syed Saddiq dan Bella yang dibuat menerusi sesi siaran langsung itu sempat dirakam sebelum dimuat naik semula menerusi satu hantaran video berdurasi dua minit 59 saat di platform TikTok.
Baca juga: “Aslam tu apa, kayu ke?” – Abby Abadi pelik namanya diseru untuk minta maaf kepada madu Marissa