‘Influencer’ pesan macam-macam tapi nak makan percuma, kononnya akan ‘review’ di IG

Oleh KIM SYAZIE

Seorang peniaga kedai makan berkongsi satu kisah, mendakwa kedainya pernah didatangi seorang individu yang mengaku dirinya pempengaruh hanya untuk mendapat makanan percuma.

Peniaga dikenali sebagai Cikta berkata, pempengaruh berkenaan memesan pelbagai jenis makanan dan lauk pauk seperti ikan siakap bakar, siput sedut, sambal sotong, ulam-ulaman dan air minuman yang keseluruhannya berjumlah RM55.

Kata Cikta, sejak awal dia sudah menghidu taktik individu berkenan yang mahu makan percuma dengan cara membuat ulasan makanan.

Dia juga tahu video-video yang diambil individu itu hanya propa untuk menunjukkan mereka sedang membuat ‘review’.

“Lepas tu siap interview kita, suruh cerita pasal lauk. Dah lah tak bagi mikrofon kat kita. Awak kat sana hujung tu, saya kat sini, macam mana nak dengar suara kita?

“Dah tahu, ini propa punya video, tapi kita layankan saja dia. Bila staf nak kira, dia kata dah deal dengan bos. Bila masa kita deal? Kita tiada deal,” ujar Cikta.

Menurut Cikta yang berniaga nasi campur dan makanan kampung di Cun Cun Corner Kuala Lumpur, dia pada awalnya mahu menuntut bayaran itu dari pempengaruh tersebut namun dihalang majikannya.

Selepas tiga bulan kejadian itu, Cikta berkata individu tersebut langsung tidak memuat naik sebarang video promosi seperti yang dijanjikan.

“Saya cakap dengan bos nak pergi minta (duit). Bos kata tak apa, tengok sampai mana permainan dia. Nak tengok dia upload ke tak dekat Instagram yang konon-konon influencer.

“Dah tiga bulan, ‘haram’ tak upload dan promosi serta apa-apa yang mendatangkan keuntungan kepada kita. Kita sebagai staf tak nampak sudut pandang bos macam mana.

“Bos kata tak apalah, nantilah, biarlah. Kita dah geram, rasa nak minta bayar RM55. Tapi bos suruh Cikta relax,” kata Cikta lagi.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang berteka teki siapakah pempengaruh itu.

Baca juga: “Aku dipandang hina pegang status janda lepas suami meninggal, kena pindah lepas satu kampung mengutuk”