Hanya umum tak mahu bertanding AJL, Aina Abdul nafi nak ‘rehat’ daripada menyanyi

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi menjayakan satu persembahan, pastinya pelbagai rencana sudah dibuat berbulan-bulan untuk memastikan segalanya berjalan lancar.

Maka tak terkejut jika ada penyanyi mahu berehat seketika daripada menyertai mana-mana pertandingan untuk fokus kepada vokal.

Usai mengumumkan dirinya tidak mahu lagi bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi Aina Abdul bagaimanapun menafikan dakwaan dia akan berhenti menyanyi lapor Harian Metro.

“Sebenarnya saya memang mengambil langkah berdiam diri dengan aktiviti saya. Selagi saya tak sedia untuk umumkan benda itu saya akan pilih bersikap ‘low profile’ saja.

“Kalau nak kata kerja, saya masih bekerja macam biasa. Malah, saya tak rehat lagi sampai sekarang selepas AJL. Saya buat banyak penulisan dan penulisan berkumpulan.

“Sebelum ini pun daripada kemunculan dalam Mentor Legend (2014) lepas itu ada saja momen-momen yang kadangkala kita ambil masa satu, dua hari untuk hadam apa segala yang berlaku,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tidak pernah menolak kritikan negatif yang dilemparkan, Aina mengambil ia semua sebagai satu pengajaran buat dirinya.

“Bahkan untuk diri saya sendiri, lepas sebulan, dua pun masih lagi orang bercakap apabila saya keluar. Mereka sebut pasal persembahan terbaik dan AJL.

“Kalau saya pergi bekerja di luar pun, kalau orang itu perasan, mereka akan masih lagi bercakap yang bagus dan yang teruk berkenaan AJL.

“Alhamdulillah, semua yang baik sahaja. Sebenarnya kadang-kadang yang buruk (kritik) itu nampak macam ramai tapi waktu saya keluar kerja, respon yang baik-baik sahaja yang saya terima daripada orang,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi berusia 31 tahun itu tetap aktif dalam berkarya dan hanya akan mengumumkan apabila segala proses berkaitan selesai.

“Banyak sebenarnya yang saya tengah siapkan. Cuma saya tak boleh nak kongsi lagi kepada peminat saya sebab saya tahu mereka peminat sebenar.

“Mereka tahu saya tengah buat apa dan mereka pun nak saya siapkan projek itu kemudian baru umumkan,” tambahnya.

Baca juga: Tontonan Blood Brothers terganggu gara-gara tangisan bayi, individu beri pesanan kepada ibu bapa