SPRM kesan sindiket penjualan bayi, ada individu tawar bayaran hingga RM50k

Oleh MALAYSIADATELINE

Kes penjualan bayi semakin membimbangkan, lebih mengejutkan ramai menawarkan bayaran hingga puluhan ribu ringgit.

Isu ini didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini mengesan sindiket penjualan bayi.

Sindiket ini turut menawarkan bayaran antara RM5,000 hingga RM50,000 kepada individu yang menguruskan pembelian dan penyediaan sijil kelahiran.

Menurut sumber, siasatan awal SPRM mendapati kira-kira RM400,000 transaksi berlaku membabitkan sindiket tersebut yang dikesan beroperasi sejak 2021 lapor Kosmo! Online.

“SPRM masih lagi dalam siasatan untuk mengenal pasti dalang-dalang sindiket yang terlibat dalam isu ini.

“Siasatan awal turut mendapati modus operandi yang digunakan oleh ejen adalah melalui iklan-iklan di media sosial dan juga melalui kenalan atas kenalan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Sebelum ini media melaporkan bahawa SPRM telah menahan reman 14 individu disyaki terlibat dalam mengemukakan borang daftar kelahiran yang mengandungi butiran matan palsu.

Ini adalah melibatkan pengesahan kelahiran bayi-bayi sedangkan tiada rekod kelahiran di hospital-hospital terlibat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim memaklumkan SPRM kini dalam proses untuk mengesan lebih ramai individu atau ejen.

Terutamanya mereka yang terlibat dalam membekalkan bayi-bayi serta terlibat dalam penyediaan dokumen palsu.

“SPRM juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan tersebut,” ujarnya.

Baca juga: Wanita bergaji RM2.4k terpaksa pura-pura kaya demi penuhi standard gaya hidup rakan-rakan