Jangan terlalu manjakan anak hingga mengabaikan anak lain, pada akhirnya mereka itu yang akan besar kepala di kemudian hari.
Faham, memang semua yang berkahwin sebolehnya nak satu anak lelaki sebagai penyambung keturunan.
Namun tak perlu abaikan anak perempuan yang lahir, kerana mereka semua ditakdirkan berada dalam keluarga tersebut.
Seorang wanita meluahkan rasa kecewa yang dipendam sejak kecil selepas ibu bapanya mendapat anak lelaki.
Di bawah adalah luahan wanita tersebut.
Saya adalah anak ke empat daripada enam orang adik-beradik, lima perempuan dan satu lelaki, (tiga orang kakak, satu adik lelaki dan satu adik perempuan).
Lepas adik lahir, saya diabaikan, puncanya sebab anak yang dinanti-nantikan sudah lahir ke dunia.
Mereka sangat memilih kasih, duit, harta benda semuanya diberikan kepada adik lelaki sahaja.
Hidupnya aman damai dengan segala keselesaan diberi tanpa perlu berusaha sedangkan kami berlima terpaksa bekerja demi mendapatkan apa yang kami mahu.
Tetapi Allah SWT itu Maha Adil, hidupnya nampak sempurna tapi rumah tangganya musnah, adik ceraikan isterinya kerana dapat anak perempuan.
Sekarang dia bersekedudukan dengan isteri kawan baik sendiri, puas saya dan keluarga nasihatkan tapi kami pula diherdik, dimaki dan dipukul adik.
Emak dan kakak ketiga yang selalu dipersalahkan, bagi adik hanya dia sahaja yang betul dalam semua situasi.
Emak yang duduk sebumbung dengan dia selalu dimaki, diherdik dan macam-macam lagi kelakuan biadab dilakukan.
Sehingga pada satu hari emak yg sudah tak tahan sampai terkeluar perkataan “Menyesalnya aku nak sangat anak lelaki, kalau aku tahu macam ini, tak ada anak lelaki pun tak apa.”
Bayangkan betapa terlukanya hati dan perasaan emak dengan perlakuan adik lelaki saya, sedangkan itulah satu-satunya anak kesayangan.
Ditatang bagai minyak yang penuh, tapi ini pula balasannya. Jadi percayalah ada sebab mengapa Allah SWT tak mengurniakan seseorang itu anak lelaki.
Islam itu syumul, selain daripada faraid, kita juga ada wasiat dan hibah. Ingatlah Islam itu tidak jumud.