Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang lelaki ‘mat saleh’ dipercayai berasal dari United Kingdom (UK) sedang meluangkan masa bersama warga emas di sebuah daerah di utara Malaysia.
Rakaman berdurasi 26 saat itu berjaya mencuri perhatian ramai berikutan kedua-dua lelaki berkenaan dilihat sangat rapat dan mesra meskipun datang dari berlainan generasi, bangsa dan negara.
Rupa-rupanya, kedua-dua individu terbabit bukan orang asing sebaliknya mempunyai hubungan kekeluargaan selepas lelaki UK itu mendirikan rumah tangga dengan anak perempuan kepada warga emas berkenaan.
Namun orang ramai yang menonton video dikongsikan di laman TikTok itu merasa kagum dengan hubungan antara bapa mentua dan menantu terbabit kerana terasa seperti keluarga kandung.
Rakaman yang memperlihatkan rutin mereka termasuk ketika bersalaman di pagi hari raya, berkunjung ke kedai makan dan surau itu dimuat naik oleh lelaki UK terbabit di akaun TikTok miliknya.
“Kami berdua menyayangi wanita yang sama. Dia adalah ayah wanita itu, saya pula suaminya. Kami berdua juga beribadah kepada Tuhan yang sama. Rasa hormat dan percaya telah terbina antara kita. Alhamdulillah,” kata lelaki itu di ruangan kapsyen.
Setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.4 juta tontonan bersama 62,800 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya terharu menonton perkongsian itu.
Ramai juga pengguna kagum dengan sikap bapa mentua yang memberikan layanan cukup baik serta menerima ahli keluarga baharu dengan hati terbuka seperti anaknya sendiri.
Beberapa individu turut memuji cara pembawaan lelaki UK terbabit kerana terlihat pandai menyesuaikan dirinya di Malaysia dengan adab dan perilaku yang sopan meski memiliki perbezaan budaya.
“Walaupun dia Mualaf, tetapi sekejap sahaja abang Mat Saleh ini sesuaikan diri dengan orang tempatan. Bawa diri dengan adab dan perilaku yang baik,” kata seorang pengguna yang sempat memuji lelaki UK itu.
“Percayalah jika seorang bapa sudah keluar dengan awak dan membawa ke mana-mana dia pergi termasuk masjid, kedai makan, membimbing dan melayan kamu seperti anak sendiri. Ini bermakna dia sayangkan kamu.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Netizen indo terkejut proses miliki kereta di Malaysia sangat mudah tak macam Indonesia