Suami bersuara selepas Abby Abadi dikecam teruk, berjanji akan sentiasa berada di sisi

Oleh WAN SITI AMINAH

Suami kepada pelakon, Abby Abadi iaitu Muhammad Faizal Zakaria tidak berdiam diri apabila isterinya menjadi sasaran kecaman segelintir pihak sejak kemelut keluarga mereka hangat diperkatakan di media sosial.

Tampil bersuara menerusi satu hantaran dikongsikan di akaun Threads miliknya, Muhammad Faizal tidak hanya mempertahankan malah turut menunjukkan sokongan yang padu terhadap isterinya itu.

Muhammad Faizal juga menegaskan bahawa dirinya akan sentiasa berada di sisi Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan untuk menjalani ujian menimpa mereka tidak kira apa yang berlaku.

“Biarlah Sayang, Abby Abadi. Orang nak kecam ke, kutuk atau kata macam-macam. Saya tetap akan bersama dengan sayang sehingga ke akhir hayat. Kalau sudah sampai masa untuk bawa diri, elok kita lakukan.

“Insya-Allah, ada cahaya dihadapan kita nanti,” kata lelaki itu dalam hantarannya di platform Threads sebagai tanda sokongan penuh kepada isterinya yang kini sedang melalui ujian keluarga itu.

Dalam perkongsian sama, Muhammad Faizal juga turut berkongsikan hasrat untuk tinggal bersama Abby dengan tenang di tanah suci Makkah suatu hari nanti dan menghabiskan sisa umur mereka di sana.

Perkongsian yang begitu menyentuh hati peminat Abby itu disifatkan sebagai sokongan moral Muhammad Faizal terhadap isteri untuk kekal kuat menghadapi ujian dalam kehidupan mereka.

“Apabila sudah tua nanti dan nampak macam tiada yang pedulikan kita lagi, kita duduk pondok, rumah orang tua atau pindah dan tinggal di Makkah. Ingat, saya sentiasa ada bersama sayang, kasih sayang dunia akhirat.” Ujarnya.

Terdahulu, konflik keluarga mereka dipercayai bermula apabila segelintir netizen meminta Abby memohon maaf kepada madu Marissa iaitu Umisya Mazlan sebelum pelakon itu meluapkan kekesalannya di media sosial.

Aslam kemudian menerusi hantaran di platform Threads menjelaskan bahawa dirinya telah memohon maaf secara peribadi terhadap Abby namun mengerti perasaan ibu mentuanya sekiranya mahu ia dilakukan secara terbuka.

Lelaki berusia 26 tahun terbabit juga mengatakan bahawa tindakannya yang hanya berdiam diri sebelum ini adalah kerana sedar dirinya telah banyak melakukan kesalahan kepada semua pihak terlibat.

Namun Abby dalam satu kenyataan balas meminta Aslam untuk memberikan penjelasan secara terperinci tentang kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini sehingga melukakan banyak pihak.

Baca juga: Abby Abadi dedah punca suami lempang Aslam, tak sampai hati buat laporan polis