Seorang pempengaruh media sosial jatuh sakit secara tiba-tiba sehingga tidak mampu bersuara selepas dia mempersoalkan mengapa hotel-hotel di Makkah tidak mempunyai arah kiblat.
Pempengaruh dari Indonesia itu membuat video ketika sampai di Tanah Suci itu dengan merungut mengenai arah kiblat.
Dia secara berjenaka, mencari arah kiblat di dalam laci meja dan seluruh tempat di dalam hotel, sambil menyatakan jika di Indonesia, semua hotel pasti ada arah kiblat.
Difahamkan hotelnya sangat dekat dengan Kaabah sehingga ia boleh dilihat terus melalui cermin biliknya.
‘Content’ itu dibuat sekadar suka-suka untuk bergurau kerana semua pun tahu umat Islam menunaikan solat mengikut di mana arah Kaabah.
Apabila sudah berada di Makkah, kedudukan Kaabah jelas terlihat maka kemungkinan tiada keperluan lagi untuk meletakkan arah kiblat.
“Saya pun keliru. Beginikah hotelnya? Jadi kalau saya nak solat, dan saya sakit, ke arah mana saya perlu solat?
“Anak panah kiblat pun tak ada. Boleh lihat di mana kiblatnya? Di Indonesia, setiap hotel ada anak panah kiblat,” katanya sambil berseloroh dengan mencari tanda arah kiblat di dalam laci, almari dan meja.
Beberapa hari kemudian, dia memuat naik hantaran dan berkongsi tentang keadaan terkininya. Pempengaruh tersebut dilihat terbaring di atas katil sebuah hospital dalam keadaan lemah.
Berdasarkan perkongsian itu, dia dikatakan jatuh sakit dan mengalami gejala teruk seperti pening kepala, badan panas dan sejuk, menggigil, sesak nafas dan degupan jantung laju.
Dia juga dilaporkan sukar menelan dan tekak terasa pedih apabila batuk.
Menurutnya, ia seakan-akan teguran dan peringatan secara terus oleh Allah kerana tidak menjaga kata-kata ketika berada di Tanah Suci.
Baca juga: Video dikongsi lelaki UK ini buat ramai terharu, dilayan bapa mentua macam anak sendiri!