Menunaikan ibadah haji adalah Fardhu Ain bagi setiap umat Islam yang mampu, manakala mengundi parti politik ketika pilihan raya adalah fardhu kifayah, kata bekas ahli Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Kata beliau, apabila bertembung antara kewajipan Haji yang Fardhu Ain dengan kewajipan mengundi yang Fardhu Kifayah, maka mesti diutamakan ibadah Haji yang wajib.
“Penglibatan setiap individu dalam pilihan raya di Malaysia adalah Fardhu Kifayah bukannya Fardhu Ain.
“Melainkan jika satu ketika nanti hukum mengundi menjadi Fardhu Ain dengan maksud setiap orang wajib mengundi dan sesiapa yang tidak mengundi hukumnya adalah berdosa.
“Suasana itu memerlukan Fatwa oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti sebagaimana Fatwa Jihad menjadi Fardhu Ain pada ketikanya hendaklah difatwakan oleh pihak berautoriti agama,” katanya.
Susulan itu beliau mencadangkan agar ‘fatwa’ Presiden Pas pada situasi masa ini mesti dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dinilai kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan hukum Islam dalam masyarakat semasa.
Terdahulu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ceramah kempen Perikatan Nasional (PN) memberi isyarat supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik dan menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Abdul Hadi mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.
Baca juga: Baju raya di Jalan TAR jatuh harga gila-gila lepas syawal