Usahawan sensasi, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman tampil mempertahankan isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid ekoran wanita itu didakwa menumpang kekayaannya selepas mereka berkahwin lebih 20 tahun lalu.
Menerusi satu sesi siaran langsung di platform TikTok, Aliff memaklumkan bahawa tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya dakwaan itu benar kerana Datin Shahida adalah isterinya bukanlah orang lain.
Sesi siaran langsung yang dibuat ketika Aliff menjual salah satu produknya itu sempat dirakam sebelum dimuat naik semula menerusi hantaran video berdurasi dua minit lima saat di platform sama.
“Tidak mengapalah, bini (isteri) aku. Kami susah senang bersama, bukannya baru setahun berkahwin. Sebelum berkahwin juga saya tak kaya. Yang kaya itu mak ayah saya. Bukannya saya,” kata Aliff dalam rakaman itu.
Dalam pada itu, Aliff juga sempat berpesan kepada Datin Shahida untuk tidak memberikan respons di sosial media tentang perkara tersebut kerana orang di luar sana tidak memahami apa yang sedang dialami keluarganya.
“Biar sahajalah orang nak cakap apa. Sebab orang yang tengah bercakap buruk kepada orang lain ini, sebenarnya sedang menunjukkan keburukkannya diri sendiri. Jadi tak perlulah melawan atau berbalas-balas sebab orang tak faham pun,” jelasnya.
Terdahulu, kontroversi dalam keluarga usahawan itu mula timbul apabila pelakon iaitu Rebecca Nur Al Islam tampil menjawab dakwaan dirinya mahu menumpang populariti dengan memuat naik gambar perkahwinan abangnya bersama usahawan, Rozita Ibrahim.
Namun perkara yang mencuri perhatian ramai di dalam video penjelasan tersebut adalah rakaman dimainkan oleh Rebecca memperdengarkan suara seorang wanita sedang membincangkan isu itu dipercayai isteri kepada Aliff iaitu Shahida.
Dalam perkongsian sama, pelakon terbabit juga sempat menyifatkan individu yang telah melemparkan dakwaan sedemikian kepadanya sebagai seseorang yang tidak mempunyai akal selain menumpang kekayaan suami.
Perkongsian tular yang telah menimbulkan kekecohan melibatkan banyak pihak itu bagaimanapun dipadam oleh Rebecca dengan mengatakan bahawa keputusan tersebut dibuat atas rasa hormat kepada permintaan abang sulungnya.
Baca juga: “Berniaga kalau modal berjuta, hutang pun berjuta juga” – Shuib ceburi bisnes baru