Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang wanita yang meluahkan kekesalannya apabila dituduh berlaku curang sehingga menjadi punca kepada penceraiannya dengan bekas suami sekitar hampir tiga tahun lalu.
Difahamkan, tuduhan tersebut bukanlah datang daripada orang lain sebaliknya bekas ibu mentuanya sendiri yang masih meletakkan semua kesalahan di bahunya tanpa mencari tahu perkara sebenar yang berlaku selama ini.
Menurut wanita yang ingin dikenali sebagai Nurin itu, bekas ibu mentua terbabit mula menuduhnya memiliki hubungan dengan lelaki lain setelah memutuskan untuk memfailkan permohonan penceraian.
Nurin menjelaskan bahawa watak ‘lelaki lain’ selaku orang ketiga dalam perkahwinan mereka sememangnya wujud namun ‘dibawa masuk’ oleh suaminya iaitu anak kepada ibu mentuanya sendiri.
Perkara tersebut didedahkan wanita itu dalam sesi luahan menerusi segmen ‘Bekpes Hot’ dikendalikan penyampai radio iaitu Johan, AG dan Fara Fauzana yang mana sedutan rakamannya turut dimuat naik di platform TikTok.
“Saya dan suami sudah berpisah nak dekat tiga tahun lalu. Tetapi dalam perpisahan kami ini, mak mentua salahkan saya. Dia kata saya ada lelaki lain. Sebab itulah saya minta untuk berpisah.
“Sedangkan kalau boleh, nak cakap dekat dia yang bukan saya ada lelaki lain. Tetapi anak dia yang ada lelaki lain,” kongsi wanita itu dalam pendedahan yang membuatkan AG dan Fara Fauzana tercengang mendengarnya.
Dalam perkongsian yang sama, Nurin memaklumkan bahawa tujuannya membuat perkongsian tersebut adalah untuk memberitahu perkara sebenar kepada bekas ibu mentuanya.
Nurin juga berharap dengan pendedahan tersebut, bekas ibu mentuanya untuk tidak meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada anak sendiri selain berhenti menyalahkan orang lain jika berlakunya sesuatu masalah.
“Saya nak buat luahan ini untuk mak mentua iaitu ibu kepada bekas suami. Kalau boleh, saya nak cakap dekat dia supaya tolonglah jangan terlalu percayakan anak dia sangat.
“Kemudian janganlah pandang anak orang lain ini semua jahat sahaja di mata dia.” Kesal wanita itu dalam rakaman yang kini sudah berjaya meraih tontonan dari 322,300 pengguna TikTok itu.
Baca juga: “Bapa aku kahwin ramai, jadi aku kena tanggung mak dan adik beradik tapi isteri aku tak faham…”