Bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tun Ramli Ngah Talib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa pada 1 Mei 2025 ini.
Pelantikan Ramli ini bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyandang jawatan itu sejak 1 Mei 2021.
Ramli dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2029.
Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada Khamis.
Pada istiadat sama, Ramli, 84, turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun.