Tak sampai 7 hari, O’Reilly serang lagi Malaysia

Oleh ROSLAN ZAMAN

Belum pun sampai 7 hari, sekali lagi pengulas konservatif Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly memberi komen menyerang Malaysia dengan membandingkan pendapatan per kapita isi rumah antara Malaysia dan negaranya.

O’Reilly berkata, statistik pendapatan per kapita isi rumah Malaysia ialah AS$5,731 (RM25,061) setahun manakala AS mencatatkan AS$42,220 (RM184,628).

“Angka itu menjadikan perbezaan lapan kali ganda.

“Malaysia marah pada saya, ini cerita tidak masuk akal,” katanya menerusi aplikasi Tik Tok.

Sebelum ini dalam satu segmen videonya O’Reilly mendakwa rakyat Malaysia tidak mempunyai wang dan tidak relevan sebagai rakan dagang kepada China.

Kenyataan itu dibuat ketika dia mengulas mengenai lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja baru-baru ini.

Selepas itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan O’Reilly yang mendakwa Asia Tenggara tidak mempunyai duit.

Anwar berkata kenyataan itu bukan sahaja menunjukkan kejahilan O’Reilly terhadap realiti semasa Asia Tenggara, malah turut mencerminkan pemikiran sempit yang dipengaruhi sentimen perkauman dan ideologi penjajah. Beliau juga menyifatkan pandangan itu adalah angkuh dan jahil.

O’Reilly dalam ucapannya turut mengakui bahawa dirinya adalah seorang penjajah.

baca: anwar-5