Siapa sangka, perebutan kawasan meminta sedekah boleh mengundang tragedi sehingga menyebabkan seorang pengemis maut ditikam di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu.
Pihak polis kemudian menahan suspek yang juga seorang pengemis susulan kejadian pada jam 12.30 tengah hari di lokasi sama dan siasatan mendapati lelaki terbabit turut mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
Suspek berusia 28 tahun itu juga didapati memiliki kad orang kurang upaya (OKU) kategori lembam selain perlu dimasukkan ke wad pemerhatian kerana mengalami sawan, lapor Berita Harian.
Mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 40 tahun pula didapati tidak mempunyai kad OKU namun memakai besi di kakinya akibat mengalami kemalangan dalam kejadian berlaku pada tiga tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan, mangsa juga mempunyai seorang isteri yang tinggal di Taman Sentosa dan bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Permohonan reman terhadap suspek dijalankan di wad pemerhatian Hospital Shah Alam di hadapan Majistret Nur Azureen Zainalkefli pada jam 3.15 petang tadi (semalam).
“Majistret kemudian membenarkan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 1 Mei depan dan suspek dimasukkan ke wad pemerhatian kerana mengalami sawan.
“Suspek juga ada kad OKU lembam,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Berita Harian bagi mengulas kejadian seorang peminta sedekah menikam pengemis lain sehingga mati angkara berebut kawasan.
Menurut Mohd Iqbal, hasil siasatan mendapati mangsa adalah peminta sedekah di sekitar kawasan bank tersebut manakala suspek yang juga warga tempatan turut ingin melakukan kegiatan mengemis di lokasi sama.
Situasi itu menyebabkan berlakunya pertengkaran mulut antara mereka sebelum suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menikam mangsa beberapa kali sehingga tidak sedarkan diri.
“Ketika kejadian, berlakunya pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka berkaitan isu perebutan tempat meminta sedekah. Suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau.
“Lalu suspek menikam bahagian dada mangsa beberapa kali hingga menyebabkan lelaki terbabit jatuh terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri,” jelasnya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Baca juga: Pempengaruh dikecam tak pandai ‘review’ makanan sampai pemilik kedai kena ‘review’ sendiri