Usahawan yang kini bergelar pempengaruh iaitu Datuk Red kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini selepas berkongsi gambar memaparkan dirinya ketika berada di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor pada tahun lalu.
Difahamkan, gambar lama tersebut diambil ketika pemilik nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu itu menguruskan hal perceraiannya dengan bekas isteri kedua iaitu penyanyi terkenal, Adira Suhaimi.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform TikTok itu, Datuk Red mengenang kembali peristiwa yang disifatkan gelap dalam hidupnya selain sarat dengan hukuman buat dirinya kerana pernah alpa.
Bagaimanapun usahawan yang kini sudah genap setahun bergelar duda itu juga tidak menafikan bahawa kejadian tersebut turut membawa hikmah dan pengajaran kepada dirinya supaya menjadi insan lebih baik.
Dalam perkongsian sama, Datuk Red turut mengambil peluang untuk meluahkan rasa syukurnya dan berterima kasih kepada Adira di atas segala pengorbanan sepanjang bergelar isterinya.
“Genap setahun peristiwa hitam saya (25 April). Ini adalah pengajaran dan hukuman ke atas saya yang alpa. Terima kasih Adira Suhaimi selama ini menjadi isteri saya. Semoga Ami (panggilan Adira) berbahagia.
“Yang penting, sihat untuk menjaga anak-anak saya. Saya akan kembali nanti,” tulis usahawan berusia 37 tahun itu di ruangan kapsyen hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu.
Namun perkara yang lebih menarik perhatian orang ramai adalah tanda pagar atau ‘hashtag’ digunakan oleh Datuk Red dalam ruangan kapsyen kerana sepertinya memiliki maksud lebih tersirat mahu disampaikannya.
Tanda pagar itu seakan-akan memberi bayangan bahawa Datuk Red mahu kembali disatukan bersama Adira dalam ikatan sah namun masih menunggu ketentuan jodoh yang digariskan oleh Ilahi.
“#TerimaKasihAdira #SumpahAkuTakCariLain #TapiTungguJodoh #MisiHabiskanJualBaju #TakAkanDudukDiKerusiItuLagi #AkuAkanKembaliMenjadiSuamiYangBertanggungjawab #JikaTidakKuRelaMenduda #WanitaLainJanganTryAku dan #AkuSuciDanSetia.” Luah Datuk Red.

Baca juga: Masa muda sibuk kerja, Afdlin anggap jadi bapa lagi di usia 54 sebagai peluang kedua