Pelakon, Julia Farhana baru-baru ini berkongsikan satu rakaman memaparkan dirinya bersama suami iaitu Dr Che Muhammad Hafiz sedang menaiki tangga dengan persalinan lengkap busana raya.
Kedua-duanya kelihatan seperti sudah agak keletihan dan berpeluh namun meneruskan ‘pendakian’ sehingga tiba ke unit kediaman yang menjadi destinasi mereka untuk menghadiri majlis rumah terbuka.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform TikTok, pemilik nama sebenar Julia Farhana Marin itu mengakui mempunyai sebabnya tersendiri untuk menaiki tangga meskipun kediaman tersebut memiliki kemudahan lif.
Namun pelakon yang berusia 31 tahun itu merasa terharu apabila suaminya sanggup menaiki tangga walau tidak menghadapi masalah sama kerana enggan membiarkan dirinya bersendirian.
“Cuba teka berapa tingkat yang kami daki? Sampai dekat rumah terbuka, kami sudah basah berpeluh. Saya memilih untuk menaiki tangga. Saya juga sudah beritahu suami untuk menaiki lif sahaja.
“Kerana ini adalah masalah saya. Biar sahaja saya hadapi masalah ini. Tetapi dia tak benarkan saya menaiki tangga seorang diri,” kata pelakon berkenaan menerusi ruangan kapsyen hantaran itu.
Rupa-rupanya, Julia yang mula meraih populariti melalui lakonannya di dalam drama bersiri Hantu Punya Bos itu memiliki ketakutan dan kerisauan untuk menaiki lif jika sudah dipenuhi dengan orang ramai.
Hal ini berikutan Julia dipercayai menghidap Klausrofobia iaitu seseorang yang mempunyai ketakutan atau merasa gelisah serta tidak selesa apabila berada di ruangan kecil atau sempit seperti bilik tanpa tingkap.
“Saya tidaklah takut naik lif. Tetapi kalau penuh macam tin sardin. Oh, tidak! Saya lebih sanggup naik tangga. Sebab sempit, saya takut. Tolonglah, kalau tahu sudah penuh, kenapa nak masuk lagi?
“Paparan dekat lif juga sudah bertukar. ‘Not in service’ (tiada dalam perkhidmatan) dan ‘full’ (penuh). Nanti kalau kita naik juga dan tiba-tiba tersekat di dalam, macam tin sardin lagi. Tak mengapalah, saya rela memilih tangga.” Kongsinya.
Baca juga: Peguam cadang LHDN kutip cukai dari ‘influencer’ gemar tayang kaya di sosial media