Beberapa tahun lalu pernah kecoh di media sosial selepas seorang individu menguar-uarkan akan melelong sejumlah barang yang tidak dituntut (unclaimed parcel) oleh mereka yang melakukan pembelian barang secara atas talian.
Perkara tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai yang mendakwa ia adalah satu tindakan tidak jujur dan tidak bertanggungjawab kerana individu tersebut cuba mengaut untung dengan cara menjual barang kepunyaan orang lain.
Bagaimanapun individu yang bertanggungjawab melelong barangan berkenaan, tampil menjelaskan bahawa barang-barang yang dijualnya itu adalah halal kerana dia tidak merompak mana-mana syarikat kurier.
Sebaliknya dia berkata, dia telah membeli sendiri secara pukal barang tidak dituntut itu.
“Barang-barang ini semua halal. Saya beli secara pukal bukan rompak J&T ke Pos Laju ke.
“Tuan punya barang ini pun semua dah dapat refund dari seller. Yang komen bukan-bukan tanpa selidik itu tak apa saya maafkan.
“Kami dah mula lelong. Minggu depan sampai lagi 1,000 barang,” tulisnya di Facebook mengulas pertikaian orang ramai.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook yang menggunakan akaun Mohd Adi berkata, pihak kurier sebenarnya ada hak untuk melelong barang tersebut jika ia tidak dituntut dalam tempoh enam bulan.
Menurutnya, kebanyakan kes berlaku di mana penjual sendiri tidak mengambil semula parcel mereka tanpa notis, dan pihak hub pula berdepan masalah ruang penyimpanan barang yang terhad menyebabkan kesemua barang tersebut perlu dilepaskan.
“Saya terima info dari kawan yang kerja hub di Lazada, mereka ada tempoh penyimpanan barang-barang yang berstatus pending to collect by seller.
“Jika barang tidak dituntut oleh pihak penjual, pihak kurier ada hak untuk melelong barang tersebut. Tempoh penyimpanan 6 bulan yang saya tahu dan kalau ikut logik, ruang yang sepatutnya digunakan untuk line hub menyimpan parcel yang ready to delivery tidak mencukupi.
“Pihak kurier perlu menambah ruang lain dan akan melibatkan kos tambahan yang perlu ditanggung. Ambil contoh hub Lazada Puchong sudah cukup. Dulu DHL, gudang besar tu pun tak cukup untuk simpan parcel. Dorang terpaksa tambah 1 lagi gudang dekat Puchong Prima ke mana, lupa saya.
“Tahun lepas sahaja kawan saya cakap ada dekat 100 rak troli tidak dituntut bungkusannya,” katanya.
Tambah Individu itu lagi, apabila ruang penyimpanan terhad pihak Lazada perlu menambah pekerja dan rider untuk mempercepatkan proses keluarkan bungkusan bagi mengelak line hub tersangkut untuk terima parcel setiap hari yang beribu-ribu.