Kekal hubungan baik dengan bekas suami demi anak, Puteri Sarah ‘let go’ hal lama

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun kisah rumah tangga pernah menjadi perhatian netizen, pelakon Puteri Sarah Liyana kekal hubungan baik dengan bekas suami pengarah Syamsul Yusof.

Hingga kini hubungan kedua mereka masih baik meskipun sudah sah bercerai pada tahun 2023 demi memastikan anak-anak mendapat kasih sayang daripada keduanya.

Buat Puteri Sarah, dia dan Syamsul tetap berkawan baik meskipun sudah berpisah malah sudah melepaskan segala hal lama lapor Kosmo! Online.

“Ya, kami berkawan baik untuk anak-anak sebab mahu lihat mereka gembira. Kami tiada masalah untuk jaga anak-anak bersama walaupun sudah berpisah.

“Buang dendam, jangan bermusuh dan kekalkan hubungan yang baik demi anak-anak.

“Kalau orang tanya susah ke buang dendam? Bagi saya, ‘just let go’, sibukkan diri dan gembirakan diri sendiri,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa sama, Puteri Sarah memaklumkan ahli keluarganya dan keluarga mentua banyak membantu mengenai urusan rumah tangga.

Malah dia mengingatkan Syamsul untuk berjumpa dan meluangkan masa dengan anak-anak setiap minggu.

Sudah kurang mengambil tawaran berlakon untuk luangkan masa dengan anak-anak, Puteri Sarah lebih memilih untuk fokus kepada perniagaannya.

“Memang susah nak bahagi masa. Sebab itu saya kurangkan aktiviti lakonan dan lebih kepada perniagaan sebab itu sumber pendapatan.

“Jadi, saya pun akan ada banyak masa dengan anak,” kongsinya.

Baca juga: ‘Parents’ tak bagi balik kalau pakai kereta murah, individu luah rasa sedih dipandang rendah ibu bapa sendiri