Pempengaruh, Cik Epal kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi video memaparkan isteri kepada bekas suaminya, Jofliam iaitu Emira Delyati Dewi sedang menutup pintu kediaman.
Kejadian difahamkan berlaku sewaktu pempengaruh itu mahu mengambil barang-barang peribadi miliknya dalam kediaman yang pernah didiaminya bersama Jofliam dan anak-anak ketika mereka bergelar suami isteri.
Bagaimanapun menurut Cik Epal, bukan kesemua barang peribadi miliknya dapat diambil malah Dewi juga didakwa turut bertindak mengasari dirinya hingga meninggalkan luka di bahagian mata.
“Beti*a ham*k ini telah cakar dan lukakan mata aku. Inilah pasangan penyondol yang ham*k barang-barang aku,” katanya di ruangan kapsyen video yang turut memperlihatkan kelibat Jofliam meminta Dewi menutup pintu.
Dalam hantaran seterusnya di platform yang sama, Cik Epal mendedahkan kronologi kejadian di mana Dewi dikatakan bertindak menyerangnya dahulu sebelum pempengaruh terbabit mempertahankan dirinya.
Kronologi tersebut didedahkan Cik Epal sebagai respons kepada kenyataan Dewi yang mendakwa pempengaruh itu menggunakan kekerasan terhadap dirinya terlebih dahulu selepas melanggar perjanjian.
“Kau (Jofliam) minta senarai, aku berikan catatan kesemua barang yang dimahukan. Kau tak mahu kemaskan malah minta aku cari sendiri. Apabila aku nak cari sendiri, kau tak benarkan pula. Nak tunjuk bukti, tunjuk rakaman penuh. Bukan sekerat-sekerat. Itu bukan bukti. Itu berat sebelah.
“Aku datang ambil barang sahaja, bukan nak hadap muka kau. Kalau kau lelaki, sepatutnya leraikan isteri itu. Bukan merakam pula situasi yang berlaku masa tengah bergelut. Isteri kau pula yang mulakan dahulu. Serang dan berkasar dengan aku dahulu.
“Aku pertahankan diri sahaja. Kuku pula sentiasa pendek. Rakaman isteri kau yang mula cakar muka dan lukakan mata sebelum tarik tudung aku itu kenapa tak muat naik pula?,” kesal Cik Epal atau nama sebenarnya Nur Munirah Mahmud dalam perkongsian itu.
Dewi menerusi hantaran dimuat naik di akaun miliknya turut membela diri dengan mendakwa pertelingkahan tersebut dimulakan oleh Cik Epal yang menggunakan kekerasan terhadap dirinya.
Insiden itu berlaku selepas Cik Epal dikatakan melanggar perjanjian mereka sebelum ini untuk tidak naik ke tingkat atas kediaman berkenaan ketika mengambil barangan miliknya pada hari kejadian.
“Munirah dan ibu bapanya datang ke rumah pada jam 3 petang. Kami sambut mereka dengan baik. Dewi turun ke tingkat bawah dan melihat Munirah sedang mengemas barang dapur. Tiada pertelingkahan dan semuanya aman. Barang-barang yang Munirah nak ambil sudah diletak di satu tempat oleh dia sendiri tanpa gangguan.
“Kemudian Munirah membuat tindakan berlari ke tingkat satu dengan melanggar perjanjian. Saya mengejar untuk mengingatkannya tentang perjanjian itu. Saat Dewi naik, Munirah telah melempar dekorasi rumah di tangga dan menjerit. Saya cuba menghalang.
“Sebaliknya, Munirah bertindak menggunakan kekerasan terhadap saya. Tindakan saya selepas itu adalah untuk mempertahankan diri. Video yang dimuat naik Munirah adalah rakaman selepas pertelingkahan dan telah melanggar perjanjian dengan berbuat sedemikian.” Dakwanya.
Dalam perkongsian sama, Dewi juga menjelaskan bahawa video yang ditularkan oleh Cik Epal itu dirakam selepas selesai mengambil barang dan laporan polis terhadap pempengaruh terbabit turut dilakukan untuk tindakan lanjut.
Baca juga: Kemana sebenarnya ‘parcel’ akan pergi kalau tak dituntut pemilik? Boleh ke kurier lelong?