Satu sekolah terkejut pelajar banyak main dapat keputusan SPM 10A

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pelajar Tingkatan 5, Isma Daniel Khairul Syakirin nekad menebus kegagalan lama, dan membuktikan mampu meraih keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024

Menurut anak sulung daripada enam beradik itu, dia pernah gagal dalam subjek Sejarah ketika di Tingkatan 3 kerana banyak bermain dan tidak serius belajar.

Namun titik perubahan bermula apabila bapanya, Khairul Syakirin Abdul Wahab meninggal dunia pada 10 Mac 2022 akibat pandemik Covid-19.

Katanya, ketika itu dia menuntut di Tingkatan 3 dan arwah bapanya meninggalkan pesanan supaya belajar bersungguh-sungguh selain menggalakkannya mengambil subjek Prinsip Akaun.

“Semasa di Tingkatan 3, saya banyak main dan gagal dalam subjek Sejarah. Saya dapat tahu jika gagal Sejarah dan bahasa Melayu tiada sijil SPM. Jadi, saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya memetik Kosmo! Online.

Menurutnya lagi, keputusan cemerlang tersebut bukan sahaja mengejutkan dirinya malah keluarga dan pihak sekolah.

Remaja itu hanya memperoleh keputusan 4A 7B dalam percubaan SPM sebelum ini

“Tips mudah sahaja iaitu perlu ada niat belajar dan impian kita pada masa depan. Saya berminat untuk membuka perniagaan,” katanya yang mengikuti pembelajaran di Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Tinggi Klang.

Baca juga: Pesara dakwa diperdaya suami selebriti berpangkat Datuk Seri, rugi RM109,500