Malaysia Dateline

A Judgement Day – perspektif peguam (Bahagian 1)

Sebenarnya, saya sudah lama ingin menulis tajuk ini khususnya setiap kali saya melihat dan membaca mengenai Hari Pembalasan sebenar yang disebut di dalam Al-Quran dengan pelbagai nama seperti Hari Akhirat atau Hari Pembalasan (a Judgement Day).

Sebagai mantan pengamal undang-undang yang agak aktif berlitigasi di mahkamah berpuluh tahun, Alhamdulillah saya mungkin, secara relatif, lebih mudah, rasanya dapat “relate” tentang konsep dan falsafah Hari Pembalasan yang sering dinyatakan di dalam dua sumber utama perundangan Islam iaitu Al-Quran dan Al-Hadith.

Sudah tentu tulisan ini bukan tafsir kepada al-Quran dan tidak pun pernah diniatkan sebegitu kerana itu sudah semestinya bukan kepakaran saya.

Sebaliknya, saya hanya ingin berkongsi kepada semua betapa hebatnya konsep dan falsafah Hari Pembalasan yang boleh dikatakan menjadi tema utama Islam atau al-Quran. Ianya begitu logikal hatta jika dinilai mengikut neraca ilmu perundangan manusia itu sendiri.

Secara umum, semacam ada terlalu banyak persamaan secara kebetulan antara sesi perbicaraan di mahkamah manusia/dunia dan konsep perbicaraan di mahkamah akhirat di Hari Pembalasan nanti meskipun sudah tentu ianya amat jauh berbeza.

Jika kita melihat perbicaraan di mana-mana mahkamah di dunia ini, misalnya dalam kes perbicaraan yang melibatkan kes jenayah, antara elemen penting yang wujud di perbicaraan tersebut adalah seperti elemen pertuduhan, keterangan, saksi, hujah, hakim, keputusan dan hukuman. Itu secara umumnya.

Saya lihat elemen-elemen yang tersebut boleh dikatakan juga wujud semasa Allah SWT mewahyukan banyak kisah mengenai Hari Pembalasan di dalam al-Quran itu sendiri.

Tidak bersalah

Kehidupan manusia di dunia ini ibarat tempat seseorang itu dibenarkan beraktiviti melakukan apa sahaja yang halal/dibenarkan.

Ia bertolak dari asas ini iaitu hukum asal sesuatu perkara itu adalah ianya dibenarkan kecuali ada sebab dan alasan ianya tidak dibenarkan.

Mengikut hukum atau peraturan ciptaan manusia itu sendiri, larangan itu, umumnya, ditetapkan oleh sebuah negara melalui undang-undang dan peraturan tertentu.

Seseorang itu adalah dianggap tidak bersalah bagi apa kesalahan pun kecuali dibuktikan sebaliknya.

Apabila seseorang itu dikatakan telah melakukan sebarang kesalahan, maka, umumnya, akan ada pertuduhan ke atasnya di mahkamah setelah suatu siasatan dilakukan.

Dan akan dikemukakan saksi dan keterangan untuk membuktikan beliau adalah bersalah di hadapan seorang hakim yang wajib berlaku adil ke atasnya.

Dan apabila hakim telah berpuas hati dia bersalah, akan ada pula sebuah keputusan yang akan diberikan dan proses itu semua akan dimuktamadkan melalui sebuah hukuman yang akan ditentukan oleh hakim tersebut.

Itulah,secara umumnya, proses atau tatacaranya.

Prosedur di Hari Pembalasan menurut al-Quran juga boleh dikatakan hampir sama, cuma ianya sudah tentu lebih sempurna lagi kerana Allah itu sendiri adalah Dzat Yang Maha Sempurna.

Oleh itu, keyakinan orang Islam itu adalah tidak akan sesekali berlaku apa yang dipanggil kezaliman atau “miscarriage of justice”. Itu suatu yang amat mustahil.

Tidak logik sama sekali, menurut keyakinan orang Islam, Allah SWT itu akan menzalimi para hamba-Nya sendiri – sekecil zarah pun – kerana itu adalah janji-Nya yang pasti dan Allah SWT itu juga berjanji bahawa Dia tidak akan sama sekali akan memungkiri janji-Nya.

Di sinilah, antaranya, perbezaan asas premis perbicaraan di mahkamah dunia dan perbicaraan di Mahkamah Akhirat di Hari Pembalasan kelak.

Pengaruh godaan

Di mahkamah dunia, proses perbicaraan akan mustahil boleh terlepas daripada pengaruh godaan hawa nafsu manusia yang membawa kepada elemen-elemen dengki, dendam, penipuan dan pemalsuan keterangan dan saksi, elemen berat sebelah, rasuah, salah guna kuasa dan 1,001 elemen negatif yang lain.

Sedangkan perbicaraan di Hari Pembalasan sebenar tidak akan sama sekali wujud segala unsur atau elemen negatif tersebut. Itulah keyakinan dan keimanan orang Islam.

Mari kita melihat beberapa contoh. Misalnya,dari aspek keterangan atau kesaksian.

Lazimnya, dalam proses perbicaraan di mahkamah dunia, keterangan bagi membuktikan seseorang itu bersalah adalah melalui keterangan lisan para saksi yang juga dipanggil “viva voce evidence” dan juga keterangan dokumentari.

Kelemahan yang ketara, kesemua keterangan tersebut boleh sahaja ditipu atau dipalsukan dan hakim tidak akan mampu – secara mutlak – mengenepikan hal tersebut.

Oleh itu, keadilan mutlak itu mustahil akan mampu dilaksanakan oleh mana-mana perbicaraan di mahkamah dunia/manusia. Itu realitinya.

Ia berbeza sama sekali dalam konteks perbicaraan di mahkamah akhirat di Hari Pembalasan kelak.

Keterangan mulut/lisan saksi mungkin sahaja boleh berbohong dan menipu tetapi Allah SWT mengatakan di dalam surah Yaasin dalam Al-Quran misalnya, bahawa di akhirat kelak, mulut manusia itu akan dikunci rapat.

Mulut tidak mampu berkata atau memberi keterangan. Oleh itu, peluang untuk menipu dan berbohong adalah sifar.

Bagi kesalahan rasuah misalnya, bagaimanakah tertuduh dapat atau mampu mengelak keterangan yang datang dari tangan dan kakinya sendiri yang menyaksikan beliau melakukan rasuah, misalnya?

Di mahkamah dunia, hal tersebut mungkin boleh dielak kerana keterangan lisan itu mempunyai 1,001 motivasi untuk menipu dan berbohong!

Maknanya, jika kita ingin menggunakan “legal jargon”, di perbicaraan di Hari Pembalasan kelak tangan dan kaki tertuduh itu sendiri “will incriminate” beliau sendiri.

InsyaAllah bersambung.