Tokoh wartawan anggap calon Amanah wakil Deklarasi Rakyat

Tokoh wartawan anggap calon Amanah wakil Deklarasi Rakyat

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times, Datuk A. Kadir Jasin menganggap calon Parti Amanah Negara (Amanah) adalah calon yang mewakili Deklarasi Rakyat bagi menentang wakil pemerintah Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam PRK yang bakal diadakan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Calon BN katanya mewakili Umno yang tidak melakukan apa-apa untuk menyingkir atau mendisiplinkan Mohd Najib. Sebaliknya bersekongkol dengan beliau dalam skandal 1MDB, “derma” RM2.6 bilion dan pengalihan haram RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd.

Calon Pas pula kata beliau mewakili satu parti yang mengaku berunding dengan “kerajaan” mengenai pembentangan Rang Undang-Undang Bukan Kerajaan (Private Member’s Bill/PMB) untuk meminda Akta (Bidang Kuasa Jenayah) Mahkamah Syariah Kelantan. “Kerajaan” dalam konteks ini adalah Mohd Najib.

“Antara Umno dan PAS kita tak pasti lagi siapa lawan siapa. Besar kemungkinan mereka sudah berpakat di dalam kelambu,” katanya.

Berikut adalah artikel penuh beliau yang disiarkan hari ini,

Mengapa calon Amanah/PH adalah “calon” Deklarasi Rakyat?
Sebab-sebabnya seperti berikut:

Umno/BN tidak melakukan apa-apa untuk menyingkir atau mendisiplinkan Mohd Najib. Sebaliknya bersekongkol dengan beliau dalam skandal 1MDB, “derma” RM2.6 bilion dan pengalihan haram RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd.

Antara Umno dan PAS kita tak pasti lagi siapa lawan siapa. Besar kemungkinan mereka sudah berpakat di dalam kelambu.

Mohd Najib, Presiden PAS (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, (Datuk) Harun Din kini berahi dalam asmara dana tiga penjuru.

Abdul Hadi mengaku berunding dengan “kerajaan” mengenai pembentangan Rang Undang-Undang Bukan Kerajaan (Private Member’s Bill/PMB) untuk meminda Akta (Bidang Kuasa Jenayah) Mahkamah Syariah Kelantan. “Kerajaan” dalam konteks ini adalah Mohd Najib.

Keutamaan Mohd Najib bukan menjaga kepentingan dan perasaan ahli dan penyokong Umno, tetapi mengambil hati Abdul Hadi dan Harun kerana dihantui kemungkinan dipecat melalui akuan berkanun oleh ahli Dewan Rakyat.

Antara hilang undi dan hilang jawatan, Mohd Najib lebih rela memperjudikan undi PRK SB dan KK.

Mohd Najib percaya sebarang kemarahan pengundi Umno/BN kerana bersekongkol dengan Abdul Hadi dan Harun boleh diubati oleh penawar “cash is king.”

Abdul Hadi pula tergesa-gesa membentangkan PMB berkaitan Hudud dalam percubaan mengambil hati ahli dan penyokong PAS yang sedang digoda “imannya” oleh Amanah.

Umno/BN dan PAS sudah tidak pedulikan undi Cina dan India lagi. Mereka sudah mengaku kalah kepada DAP dan PH.

Peranan wakil Cina dan India dalam BN sudah diturunkan ke taraf penghibur lara saja. Apa yang mereka kata dan lakukan – termasuk ancaman keluar Barisan – tidak dipedulikan lagi. Mereka sekadar penggenap bilangan dan makan gaji.

Kesimpulannya, calon Amanah yang mewakili Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah adalah calon terbaik bagi penyokong Deklarasi Rakyat.

Peserta Deklarasi Rakyat boleh berkempen bagi pihak calon Amanah/PH.

Walaupun jalan di hadapan adalah mencabar bagi peserta dan penyokong Deklarasi Rakyat, namun apa yang mereka pamerkan sejak 4 Mac lalu memberi harapan baru kepada rakyat jelata yang ditindas akibat penyalahgunaan kuasa dan ketidakcekapan kerajaan Mohd Najib.

TAGS