Aafiyah bercita-cita nak jadi ustazah, anak Tokti rupanya hafal banyak surah dan hadis di usia 6 tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Puteri sulung kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Siti Aafiyah rupanya menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang ustazah satu hari nanti.

Perkara itu diakui oleh kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan di dalam satu rakaman yang dimuat naik oleh pendakwah bebas, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa di akaun TikTok miliknya.

Selepas mendengar jawapan daripada Aafiyah, Ustazah Norhafizah kemudian mendoakan supaya kanak-kanak itu menjadi seorang Hafizah iaitu mereka yang menghafaz, memahami dan beramal dengan Al-Quran.

Menerusi perkongsian tersebut, Ustazah Norhafizah turut mendedahkan bahawa Siti Aafiyah sudahpun menghafal banyak surah dan juga hadis meskipun baru berusia enam tahun.

”Semoga buah hati Datuk Seri Siti Nurhaliza ini menjadi anak yang solehah. Masya-Allah, sudah banyak hafal surah dan Hadis juga di usia enam tahun. Barakallah fikum,” tulis pendakwah itu di ruangan kapsyen.

@ustazahdatukdrnorhafizah

Semoga buah hati Dato Seri Siti Nurhaliza ini menjadi anak yang solehah. MashaaAllah, dah banyak hafal surah dan Hadith juga di usia 6 tahun. Baarakallah fiikum. #ctdk #sitinurhaliza #fyp #ustazahnorhafizahmusa #hafizquran

♬ original sound – Norhafizah Musa – Norhafizah Musa

Dalam rakaman itu, Ustazah Norhafizah turut menitipkan doa lain kepada Siti Aafiyah termasuklah kejayaan di dunia dan akhirat, dikurniakan kepetahan berbicara dan akhlak yang baik.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian yang dimuat naik oleh pendakwah berkenaan berjaya mendapat tontonan sebanyak 210,200 daripada pengguna TikTok dan 10,400 tanda suka.

“Ustazah nak doakan untuk Aafiyah. Semoga cemerlang dunia akhirat. Ya Allah, kurniakanlah kepetahan berkata-kata, akhlak yang cantik dan ingatan yang kuat. Semoga juga Aafiyah jadi wanita dan anak yang solehah. Amiin,” katanya dalam rakaman itu.

Sekadar info, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga mempunyai seorang lagi cahaya mata selain Siti Aafiyah iaitu Muhammad Afwa kini berusia tiga tahun yang popular dengan kaletah manjanya.

Untuk rekod, Siti Nurhaliza melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis yang penuh gilang-gemilang dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K pada 21 Ogos 2006.

Baca juga: “Di usia sekarang apa lagi yang ingin saya kejar?” – Lan Pet Pet sekeluarga bakal berpindah ke Madinah tahun depan