Malaysia Dateline

“Abah-abah demam tak kebah”

Mungkin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendak bergurau dengan rakyatnya, perkataan abah digunakan untuk mesra dengan rakyat. Sebagai Perdana Menteri beliau adalah “bapa rakyat”, seperti PM sebelumnya dengan gelaran sebagai bapa kemerdekaan, bapa pembangunan dan bapa permodenan. Jangan rakyat melabelkan Muhyiddin sebagai abah Covid-19 cukuplah?

Bagaimanapun Muhyiddin bukan abah kami kerana beliau sebagai pemimpin tidak tegas mengenakan SOP kepada menteri-menterinya yang kembali dari Pilihan Raya Kecil (PRN) Sabah.

Penggunaan kata ganti nama bertujuan menunjukkan sikap ramah Muhyiddin itu kurang menjadi apabila menibullkan rasa kurang senang dalam kalangan warga siber. Saya tidak tahu siapakah yang empunya idea ini tetapi penggunaan nama-nama Makcik Kiah, Madam Lee, Haji Salleh dan Surjit misalnya dan panggilan abah sekadar sebutan klise itu akan memakan diri akhirya kerana akan menjadi bahan jenaka atau sindiran.

Oleh itu tanda pagarnya adalah #Awak bukan Abah Kami”, jangan nak pandai-pandai rotan kami. Kami ikut SOP tau. Muhyiddin dalam kenyataan perutusan khas dari rumahnya semalam berkata:”Maaflah jika abah ini mula menggunakan rotan.”

Bagi saya Muhyiddin adalah “abah-abah demam tak kebah”, boria atau pantun dua kerat yang sering disebutkan orang di Pulau Pinang apabila membuat jenaka, demam Covid-19 kami belum sembuh akibat kelalaian abah (yang bukan abah kami).

Malah, ada yang menggunakan tanda pagar #MuhyiddinOut bagi menyuarakan rasa tidak puas hati di Twitter, menggesanya meletak jawatan sebagai perdana menteri. Ada juga yang telah membuat petisyen memecat Menteri yang tidak bertanggunjawab di media sosial.

Kenyataan secara berseloroh Muhyiddin dianggap rakyat sebagai tidak serius atau Perdana Menteri tidak prihatin dengan isu semasa, apatah lagi apabila kanak-kanak berumur satu tahun dilaporkan menjadi yang termuda meninggal dunia akibat wabak Covid-19.

Orang kanan Datuk Seri Najib Razak mendakwa, Muhyiddin dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bertanggungjawab apabila kes Covid 19 meningkat mendadak.

Datuk Lokman Noor Adam berkata, ini kerana tindakan mereka berdua mahu merampas kerajaan negeri Sabahlah menyebabkan Datuk Seri Shafie Apdal memohon Yang Dipertuan Negeri Sabah membubarkan Dewan Negeri Sabah.

Muhyiddin mengakui lonjakan kes Covid-19 dikaitkan dengan pilihan raya Sabah baru-baru ini bahkan berkata bahawa sebanyak tujuh menteri dan enam timbalan menteri sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah untuk tempoh 14 hari.

Ini ekoran status Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad, yang disahkan positif Covid-19 semalam.

Muhyiddin mengesahkan perkara tersebut dalam perutusan khas berhubung situasi semasa Covid-19 semalam. Malah beliau menjangkakan penularan Covid-19 akan meningkat dalam waktu terdekat selepas merebak.

Bayangkanlah jika pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Dato Seri Mujahid Yusof Rawa didapati positif Covid-19 sekembali mereka dari Sabah, rasa dah bergempita bumi Malaya dengan segala kritikan, makian dan cacian oleh sang cyber trooper dan mereka yang pro-PN.

Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak mewajibkan saringan dan kuarantin bagi individu yang pulang dari Sabah sebelum 27 September lepas merupakan satu keputusan salah yang membawa kepada merebak virus Covid-19 ini.

Kolumnis adalah Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)